BRAZIL mempamerkan aksi kelas dunia terutama pada babak pertama untuk menunjukkan Korea Selatan jalan keluar selepas mencatatkan kemenangan 4-1 dalam peringkat 16 terbaik di Stadium 974, Doha.

Kembalinya Neymar dalam kesebelasan utama skuad Brazil seakan memberikan tenaga tambahan apabila mereka berjaya mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir Piala Dunia FIFA Qatar 2022.

Gol-gol menerusi Vinicius Junior, penalti oleh Neymar, Richarlison dan Lucas Paqueta semuanya dalam tempoh 36 minit babak pertama sudah cukup buat Brazil menunjukkan kualiti yang ada pada mereka untuk bergelar juara kejohanan kali ini.

 

Korea Selatan bagaikan tidak mempunyai jawapan kepada corak permainan serangan pantas Brazil dengan barisan pertahanan yang kelihatan sedikit gugup dan begitu mudah ditembusi.

Selepas mendahului empat gol, skuad kendalian Tite itu memperlahankan sedikit tempo pada babak kedua sebelum dibolosi menerusi jaringan cantik Paik Seung Ho pada minit ke-76 yang boleh dianggap sebagai gol saguhati buat Korea Selatan.

Korea Selatan berhak mendapat jaringan menerusi aksi bertenaga yang dipamerkan pada babak kedua yang mana mereka berjaya menyerap tekanan dan bermain dengan lebih baik berbanding ketika separuh masa pertama.

Paik Seung Ho meraikan jaringannya

Kekalahan Korea Selatan ini juga menyaksikan kesemua wakil Asia sudah menamatkan perjuangan mereka di Qatar selepas Jepun tewas 1-3 menerusi penentuan penalti kepada Croatia dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung.

Brazil akan bertemu Croatia pada 9 Disember 2022 dalam aksi suku akhir di Stadium Education City dengan tempat ke separuh akhir bertemu sama ada Belanda atau Argentina menjadi taruhan.