APA lagi boleh dikatakan apabila tersingkir dari Piala Dunia… hanya permohonan maaf kepada penyokong azimat terbaik dizahirkan pemain.
Itulah dilakukan pemain tengah Switzerland, Xherdan Shaqiri memohon maaf kepada penyokong selepas pasukan tersingkir daripada Piala Dunia apabila tewas 6-1 di tangan Portugal pada pusingan 16 terbaik di Stadium Lusail, awal pagi tadi.
Pada perlawanan itu, Goncalo Ramos meledak hatrik, manakala Pepe, Raphael Guerreiro dan Rafael Leao masing-masing berada dalam senarai penjaring untuk menyingkirkan Switzerland dan mara ke suku akhir pertama Piala Dunia mereka sejak 2006.
Switzerland fans painful moment 😩😩 #FIFAWorldCup2022#FIFAWorldCup #PORSUI pic.twitter.com/ruFf56QMRk
— Abdullah Abid (@AbdullahTLP72) December 6, 2022
“Atas nama pasukan, kami mohon maaf kepada seluruh penyokong Switzerland. Ini bukan ‘wajah’ kami yang sebenarnya pada malam ini,” kata Shaqiri.
“Kami sangat kecewa. Kami sudah menunjukkan had kemampuan kami pada malam ini. Jurulatih memberikan perancangan, tetapi tidak berhasil. Kami sudah pun tewas pada babak pertama dan sentiasa lewat dalam memulakan langkah.”
Sementara itu, jurulatih Switzerland, Murat Yakin yang mempunyai kontrak dua tahun lagi bersama pasukan kebangsaan, berkata Portugal berjaya ‘menawan’ pasukan dengan penuh kejutan.
“Kita harus terima kekalahan ini dan tahniah kepada Portugal.
“Mereka adalah pasukan yang terbaik hari ini dan mengejutkan kami. Switzerland tewas hari ini, tetapi itu bukan bermakna kami harus pesimis dan mengkritik segala-galanya. Keputusan dan cara kekalahan ini menyedihkan saya,” katanya.

Switzerland tidak pernah melangkah ke pusingan lapan terbaik di Piala Dunia sejak 1954, namun Yakin berkata pasukannya harus berbangga dengan perjalanan mereka di Qatar dan perlu terus melangkah ke hadapan selepas ini.
“Kami hanya tewas satu perlawanan, kenapa perlu kami mempersoalkan banyak perkara?. Benar kami tidak dapat memenuhi impian penyokong tetapi kami boleh melihat semula perjalanan kami di Piala Dunia ini dengan rasa bangga.
“Sekarang ini, kami perlu melihat ke hadapan,” katanya.