PERLAWANAN pertama Piala Dunia 2022 bakal berlangsung di Stadium Al Bayt, petang Ahad waktu Doha iaitu pukul 12 tengah malam di Malaysia, bakal menemukan tuan rumah Qatar dengan Ecuador dalam saingan Kumpulan A.

Anak buah Felix Sanchez Bas itu akan bersaing di pentas antarabangsa terbesar buat pertama kali dalam sejarah mereka, manakala wakil Amerika Selatan , Ecuador pula kembali ke pusingan akhir Piala Dunia selepas lapan tahun tidak beraksi.

Skuad kebangsaan Qatar yang beraksi di Piala Dunia kali ini

Di sebalik kontoversi melanda Qatar, anak didik Sanchez Bas yang sudah melakar sejarah beraksi di Piala Dunia buat kali pertama, boleh bersiap siaga mencipta satu lagi sejarah baharu apabila memulakan sepak mula menentang Ecuador tengah malam nanti.

Cabaran pastinya tidak mudah kerana selain Ecuador, juara Piala Asia itu perlu menghadapi finalis Piala Dunia 2010 yang juga juara Piala Negara-Negara Afrika, Senegal dan Belanda.

Skuad kebangsaan Ecuador yang membawa cabaran di Piala Dunia kali ini

Persiapan rapi dilakukan mereka menyaksikan Guatemala, Honduras, Panama dan yang terbaru Albania ditakluk dalam siri persahabatan, pasukan bergelar ‘The Maroon’ itu pasti mempunyai motivasi cukup tinggi.

Penyerang bintangnya, Almoez Ali yang menjaringkan gol pada perlawanan persahabatan terakhir, mahu menjadi penjaring gol pertama kejohanan sekali gus membawa The Maroon mencapai kemenangan sulung aksi Piala Dunia.

Rekod lima perlawnan antarabangsa terakhir sebelum Piala Dunia 2022

Pasukan Sanchez Bas mahu mengelak daripada menjadi tuan rumah kedua Piala Dunia yang gagal melepasi saingan peringkat kumpulan, sebagaimana menimpa Afrika Selatan pada 2010, tetapi jika menang, Qatar bakal mencipta sejarah sebagai satu-satunya Negara AFC memenangi pertarungan Piala Dunia pertama mereka.

Ecuador yang tampil pada tiga edisi Piala Dunia 2002, 2006 dan 2014, hanya sekali melepasi peringkat kumpulan, tersingkir pada saingan 16 terakhir kira-kira 16.

Persiapan mereka tampak goyah apatah lagi anak didik Gustavo Alfaro hanya menang dua kali daripada enam perlawanan antarabangsa terakhir.

Begitupun, perlawanan dijangka sengit antara kedua-dua pasukan. Beikut jangkaan kesebelasan yang bakal diturunkan.

Barisan kemungkinan Qatar dan Ecuador