OLEH : MOHD FARIQ
TIDAK jauh dari Stadium Likas, terletak sebuah padang milik Sabah FA.
Di situlah pemain Sabah FC menjalani latihan setiap hari.
Tidak ramai yang sedar perubahan yang berlaku di situ dalam membantu Sabah FC mewujudkan suasana profesional buat Datuk Ong Kim Swee dan anak buahnya.
Bekas pemain Sabah itu tidak pulang ke Kota Kinabalu pada 2021 tanpa perancangan rapi.
Meninggalkan kerusi empuk selaku Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kim Swee dilamar untuk merencanakan hala tuju baharu buat Sabah FC dari semua aspek sebaik menyertai skuad itu berkuat kuasa 1 Oktober 2021.
Selaku perancang di balik tabir di FAM dengan reputasi selaku jurulatih yang menghasilkan pingat emas Sukan SEA 2011 serta kemaraan ke suku akhir Piala Asia AFC Bawah 23 tahun pada 2018 serta menumpaskan Korea Selatan di Sukan Asia 2018, Kim Swee melihat perkembangan di luar padang sebagai elemen penting bagi membentuk barisan berwibawa.
Menyedari bahawa padang latihan yang khusus untuk kebanyakan kelab dalam Liga M menjadi isu, Kim Swee segera berbincang dengan pengurusan Sabah FA untuk menaik taraf kemudahan latihan yang terletak tidak jauh dari Stadium Likas.
Stadium Likas sudahpun mempunyai reputasi sebagai antara padang terbaik di negara yang ditanam rumput nationalgrass atau cowgrass. Selain bahagian luar stadium yang dicat dengan warna kelab iaitu biru, putih dan merah, bilik persalinan di stadium dinaik taraf.

Permukaan padang latihan Sabah FC.
Tetapi bagaimana dengan kemudahan latihan?
Apabila Kim Swee tiba semula di Kota Kinabalu, beliau memikirkan bagaimana cara terbaik menaik taraf padang latihan di Likas.
“Tidak guna jika saya ada barisan pemain yang bergaji besar tetapi selalu mengalami kecederaan disebabkan padang latihan tidak menepati piawaian,” ujarnya.
SAFA memutuskan untuk mengehadkan penggunaan padang itu hanya kepada Sabah FC dan tidak terbuka kepada umum sebagaimana yang berlaku sebelum ini.
Kim Swee juga mencadangkan hanya aktiviti bola sepak sahaja dibenarkan dan eksklusif kepada pasukan The Rhinos untuk menjalani latihan dan sebagainya.
Padang itu ditutup selama dua bulan untuk dinaik taraf.
Dengan bantuan seorang groundsman untuk mengendalikan kerja-kerja penyelenggaraan, padang latihan itu dianggap lebih baik daripada padang di Stadium Likas, gelanggang rasmi Sabah FC.
“Kim Swee cukup teliti aspek penjagaan padang dan mementingkan kesempurnaan. Saya diamanahkan beliau memantau setiap hari keadaan padang.
“Penjagaan rumput amat penting kerana aset utama bagi pemain untuk digunakan, dipijak dan disepak , maka penjagaannya sangat mustahak,” katanya dikenali sebagai Ronny.
Selain memastikan padang dalam terpelihara, pihak SAFA boleh menaiktaraf perkembangan fasiliti dan infrastruktur secara berperingkat demi kemajuan masa depan bola sepak Sabah FC.
Padang latihan milik Safa itu adalah sebahagian daripada Kompleks Sukan Likas yang asalnya dibina pada 1975 dan dinaik taraf pada 2001 sebagai persediaan menganjurkan Sukan Malaysia (Sukma) 2002.
“Kami mempunyai padang latihan sendiri yang berkualiti dan selesa,” jelas Kim Swee.