SKUAD ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki dan wanita negara menerima suntikan semangat menjelang Sukan SEA 2025 apabila menerima penajaan berjumlah RM200,000 daripada Hong Leong Yamaha Motor (HLYM), dalam usaha memperkasakan persiapan menghadapi temasya dwitahunan itu di Thailand Disember ini.

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (MR), Amir Amri Mohamad menyifatkan penajaan itu sebagai lonjakan besar buat skuad Bunga Raya, yang kini berada dalam fasa latihan intensif menjelang kejohanan penting peringkat Asia dan serantau.

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (MR) Amir Amri Mohamad menerima penajaan RM200,000 daripada Pengarah Urusan HLYM, Profesor Datuk Dr. Jim Khor.

“Insya-Allah, dengan adanya dana ini, perancangan pasukan akan lebih lancar. Ia juga diharap dapat membuka mata lebih banyak syarikat untuk menyokong usaha kami melahirkan pasukan yang kompetitif,” katanya dalam selepas majlis pengumuman Penajaan Hong Leong Yamaha Motor ke atas skuad ragbi negara di Sungai Buloh.

Menurutnya, kekangan dari segi logistik dan teknikal sebelum ini sedikit sebanyak menjejaskan kelancaran program pembangunan dan latihan pasukan, namun menerusi bantuan kewangan ini diharap mampu menampung keperluan penting termasuk peralatan, elaun dan perbelanjaan luar negara yang semakin meningkat.

Sementara itu, Pengarah Urusan HLYM, Profesor Datuk Dr. Jim Khor berkata, nilai seperti semangat juang, ketabahan dan kerjasama pasukan amat selari dengan prinsip jenama Yamaha. “Kami berharap sumbangan ini dapat membantu keperluan penting pasukan termasuk latihan, pemakanan dan elaun atlet menjelang temasya Sukan SEA,” katanya.

Menariknya, sempena kerjasama ini, Genblu Café turut memperkenalkan menu istimewa ‘BLUngaraya 7’s Chicken’ yang diinspirasikan daripada kekuatan dan perpaduan skuad ragbi 7s negara dengan 7 peratus daripada hasil jualan setiap hidangan itu akan dimasukkan ke kantung skuad ragbi kebangsaan.