MASA depan beregu wanita negara, Pearly Tan dan M Thinaah akhirnya “kekal” dalam pelukan skuad kebangsaan selepas dikatakan sah bersetuju menyambung kontrak bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Difahamkan, rundingan antara kedua-dua pihak dimuktamadkan minggu ini dan pasangan nombor tiga dunia itu dijangka menurunkan tandatangan secara rasmi hujung minggu ini sebelum berlepas ke Jepun bagi menyertai Terbuka Jepun bermula 15 hingga 20 Julai depan.

Lebih melegakan, kontrak baharu itu menyaksikan Pearly-Thinaah akan terus bernaung di bawah BAM sekurang-kurangnya sehingga temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028, satu langkah penting dalam memastikan kesinambungan prestasi mereka di pentas dunia.

Sebelum ini, spekulasi bertiup kencang apabila kedua-dua pemain itu masih belum memuktamadkan status mereka bersama BAM walaupun kontrak terdahulu tamat sejak hujung tahun lalu, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peminat sukan tanah air.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini turut memberi jaminan isu berkenaan akan diselesaikan segera sebelum gandingan utama negara itu menyertai siri kejohanan penting di Asia dan Eropah sepanjang Julai hingga Ogos.

Selepas Terbuka Jepun, Pearly-Thinaah akan meneruskan misi memburu mata ke Paris menerusi Terbuka China dari 22 hingga 27 Julai sebelum beraksi di Kejohanan Dunia di Paris pada penghujung Ogos, berbekalkan semangat daripada prestasi memberangsangkan, muncul juara Terbuka Thailand, naib juara Terbuka Indonesia serta mara ke separuh akhir dan suku akhir dalam dua kejohanan lain.