AHLI Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari mencuri tumpuan arena sukan negara apabila diumumkan sebagai Menteri Belia dan Sukan baharu, menggantikan Hannah Yeoh dalam rombakan Kabinet Kerajaan MADANI sebentar tadi.

Pengumuman penting itu dibuat sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus memberi isyarat hala tuju baharu kepimpinan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Dalam rombakan berkenaan, Dr. Taufiq diberi amanah menerajui KBS manakala jawatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan kini disandang oleh Mordi anak Bimol, menggantikan Adam Adli Abd Halim.

Hannah Yeoh pula dipindahkan ke portfolio baharu sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), menggantikan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Upacara angkat sumpah jawatan barisan Kabinet baharu yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar, dijadual berlangsung esok jam 10 pagi di Istana Negara.

Dr. Taufiq yang berusia 29 tahun merupakan Ahli Parlimen Sungai Petani sejak November 2022, berkelulusan Doktor Perubatan dari Universiti Islam Bandung serta aktif sebagai Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat dan Ketua Pemuda Pakatan Harapan Kedah.

Anak kepada Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul itu memulakan tugas secara rasmi sebagai Menteri Belia dan Sukan pada 16 Disember 2025, dengan cabaran besar menanti dalam usaha mengangkat prestasi belia dan sukan negara ke tahap lebih tinggi.