BEREGU lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei memulakan misi memburu gelaran pertama di Kejohanan Badminton Asia (BAC) dengan langkah meyakinkan apabila mara ke pusingan kedua selepas menewaskan bekas juara dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.
Turun sebagai pilihan utama dan sandaran negara di kejohanan berprestij itu, pasangan ranking kedua dunia tersebut hanya memerlukan 37 minit untuk melakar kemenangan straight set 21-16, 21-18 di Pusat Sukan Olimpik Ningbo.
Kemenangan itu bukan saja mengukuhkan keyakinan mereka, malah menjadi kemenangan kedua daripada lima pertemuan menentang pasangan Jepun itu yang baru kembali dari kecederaan.
Selepas terkandas di pentas final pada edisi 2023, Izzuddin-Sze Fei bertekad untuk menamatkan kemarau gelaran dan menjadikan edisi kali ini sebagai penebus maruah.
Mereka dijangka berdepan cabaran dari Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh dalam usaha memburu tiket ke suku akhir, esok.
Sementara itu, satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut melangkah ke pusingan kedua selepas mudah mengetepikan pasangan Hong Kong, Law Cheuk Him-Yeung Shing Choi 21-14, 21-12 dalam masa 26 minit.
Wei Chong-Kai Wun kini menanti pemenang antara pasangan Hong Kong, Hung Kue Chun-Lui Chun Wai dan gandingan Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han bagi perebutan tempat ke suku akhir.