PELARI menara nombor satu dunia, Soh Wai Ching berharap larian menara akan dimasukkan antara sukan yang akan dipertandingkan pada Temasya Sukan SEA 2027, ketika Malaysia menjadi tuan rumah.

Wai Ching berkata, hasrat itu sudah dinyatakan kepada Menteri Belia dan Sukan sebelum ini, namun dia akan membawa usul itu sekali lagi, kepada menteri baru, Hannah Yeoh.

Soh Wai Ching memegang bendera Persatuan Larian Menara bersama Persatuan, Ravinder Singh, bersama Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pembangunan Sukan) KBS, Abd Aziz Abd Rahman (kiri) dan Timbalan Pengarah Cawangan Kecergasan Nasional Pembangunan Sukan KBS, S Murugapperumal Pillai (kanan).

“Saya sudah meminta untuk bertemu menteri Hannah Yeoh dan akan bertemunya pada sesi ‘townhall’ melibatkan atlet, pegawai dan pemimpin persatuan sukan minggu depan.

“Penting untuk sukan ini mendapat tempat di Sukan SEA apa lagi kita boleh memonopolinya dan menyumbang banyak pingat. Sebagai tuan rumah, kita berhak menamakan acara sukan yang mahu dipertandingkan,” kata Wai Ching, dalam sidang media yang berlangsung di Hotel Berjaya, di ibu negara.

Wai Ching yang meraih 19 kejuaraan tahun ini berharap, dengan kemasukan acara larian menara di Sukan SEA, akan dapat membantu mempromosikan lagi sukan itu kepada rakyat Malaysia dan juga masyarakat di Asia Tenggara.

Antara kejayaan besar dan manis baginya adalah ketika memenangi pertandingan Tunnel to Towers Climb New York City (One World Trade Centre) di New York, Amerika Syarikat (AS), Jun tahun ini.