PERSIAPAN Sukan SEA ke-33 terus bergolak apabila Kemboja membuat keputusan menarik diri daripada lapan acara sukan atas faktor keselamatan susulan banjir besar yang melumpuhkan Songkhla dan memaksa Thailand memindahkan venue ke Bangkok serta Chonburi.
Penarikan diri itu hadir ketika penganjur masih bergelut mengurus pertukaran lokasi 10 sukan yang tidak lagi boleh berlangsung di Songkhla akibat kerosakan infrastruktur dan risiko ancaman penyakit.

Kenyataan dari Jawatankuasa Olimpik Kemboja berkenaan penarikan diri daripada 8 sukan namun tetap bertanding dalam 13 sukan lagi.

Songkhla yang pada awalnya menjadi salah satu lokasi utama temasya kini ditenggelami banjir paling buruk dalam beberapa tahun, menyebabkan semua jadual pertandingan di wilayah itu terpaksa dibatalkan.
Menurut laporan Bangkok Post, Kemboja melalui surat rasmi yang ditandatangani Setiausaha Agung Majlis Olimpik negara itu, Vath Chamrouen, memaklumkan bahawa mereka tidak akan bertanding dalam judo, karate, pencak silat, gusti, wushu, petanque, bola sepak dan sepak takraw.
Keputusan itu dibuat selepas penilaian semula tahap keselamatan kontinjen mereka berikutan perubahan lokasi secara mendadak dan situasi cuaca yang dianggap belum stabil serta sukar dijangka.

Antara venue Sukan SEA di Songkhla yang terjejas banjir.
Kemboja turut menegaskan bahawa keselamatan atlet menjadi keutamaan, dan keadaan di Songkhla yang masih berisiko walaupun acara dipindahkan tetap menimbulkan kebimbangan terhadap perjalanan mereka.
Sukan-sukan yang ditinggalkan itu pada asalnya dijadualkan berlangsung di Songkhla sebelum penganjur terpaksa mengalihkannya ekoran kerosakan venue serta kekangan masa memulihkan fasiliti mengikut standard temasya.
Penarikan diri Kemboja ini menjadi tamparan terbaharu buat penganjur yang kini berdepan tekanan untuk memastikan temasya yang bermula 9 Disember terus berjalan tanpa menjejaskan keselamatan atlet daripada negara peserta.