Era kepimpinan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dari 2008 hingga 2015 menjadi titik perubahan penting dalam landskap hoki negara.

Di bawah pimpinan baginda, KHM memperkukuh pembangunan akar umbi, menambah baik struktur pasukan kebangsaan dan memperkenalkan sistem lebih tersusun bagi melahirkan pelapis berkualiti.

Kerjasama erat dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut menjadi pemangkin utama, apabila syarikat utiliti itu kekal komited menyokong pembangunan hoki tanah air.

Kini, menerusi program TNB Thunderbolts dan klinik pembangunan remaja, TNB terus membantu menyediakan laluan berstruktur untuk pemain muda daripada peringkat sekolah hingga ke skuad kebangsaan.

Keberkesanan program itu semakin terserlah apabila graduan TNB Thunderbolts kini menjadi tonggak utama skuad pelapis negara, termasuk yang bakal beraksi di Piala Dunia Remaja FIH di India hujung bulan ini.

Legasi Al-Sultan Abdullah jelas membuktikan kepimpinan baginda telah membina asas kukuh dan mampan bagi memastikan hoki Malaysia terus melahirkan generasi pelapis berdaya saing di pentas dunia.

Piala Dunia Remaja FIH di India bakal sekali lagi menjadi pentas yang memperlihatkan hasil usaha kolektif tersebut apabila barisan muda negara membawa nama Malaysia hasil gabungan bimbingan teknikal KHM dan sokongan berterusan TNB.