KETUA jurulatih negara, Peter Clamovski menegaskan bahawa perlawanan menentang Cape Verde dalam aksi persahabatan Tier 1 malam esok bukan sekadar aksi pemanas badan sebelum bertemu Vietnam, sebaliknya ujian penting untuk membentuk identiti sebenar Harimau Malaya.

Clamovski menolak andaian bahawa fokus skuad kebangsaan kini tertumpu sepenuhnya kepada perlawanan getir Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam bulan depan, sebaliknya menekankan bahawa keutamaan sebenar adalah aksi terdekat iaitu berdepan pasukan dari benua Afrika itu di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

“Perlawanan menentang Vietnam memang sangat penting, tapi itu masih jauh. Yang paling penting dalam bola sepak adalah perlawanan seterusnya. Kami perlu hormat setiap lawan, termasuk Cape Verde esok,” katanya dalam sidang media pra perlawanan hari ini.

sidang media pra perlawanan persahabatan Antarabangsa Tier 1 menentang Cape di Stadium Bola Sepak kuala Lumpur cheras, esok malam. 

Beliau turut memberi bayangan bahawa tidak kira siapa yang diturunkan, 11 pemain yang bakal memulakan aksi akan membawa semangat dan tanggungjawab besar mewakili negara, selain menerapkan budaya bermain dengan identiti tersendiri tidak kira lokasi atau keadaan padang.

“Kami mahu bina mentaliti yang kuat tak kira di mana kita bermain atau dalam keadaan bagaimana sekalipun, kita tetap main dengan cara kita. Itu yang akan membawa kepada persembahan berpasukan yang mantap,” jelasnya.

Perlawanan ini menjadi platform penting buat Clamovski menilai keserasian skuadnya sebelum membuat sebarang rombakan menjelang aksi kompetitif. Dan mesej beliau jelas Harimau Malaya wajib tampil garang setiap kali turun ke padang, demi nama negara.