KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Kedah Darul Aman FC, Khamal Idris Ali berkongsi berita gembira buat seluruh pasukan Sang Kenari apabila pihak pengurusan kelab bersetuju untuk memberikan bonus selepas mencatat keputusan seri 3-3 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Sabtu.
Menurut Khamal, pembayaran bonus biasanya dilakukan sekiranya pasukan menang tetapi untuk perlawanan menentang JDT, pihak pengurusan akan tetap memberi bonus sebagai tanda semangat selepas mempamer aksi yang cukup hebat.
Bekas pemain skuad Hijau Kuning itu juga mengakui turut terkejut dengan aksi yang dipamerkan Kedah kerana mereka kini menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya mencuri mata dari Harimau Selatan musim ini.

“Di pihak kita memang kalau menentang JDT ada bahagian berbeza dari pasukan-pasukan lain. Selalunya bonus kita bagi jika menang sahaja, tetapi kita bagi juga bonus walaupun seri sebagai tanda penghargaan buat pemain.
“Terima kasih kepada pemain kerana mengikut arahan jurulatih dan terkejut juga dengan persembahan yang diberikan jika dibandingkan dengan pasukan lain dan syukur kita dapat keputusan yang baik, katanya dalam sidang media khas selepas perlawanan.
Khamal turut yakin Kedah mampu layak ke kejohanan Asia musim hadapan berdasarkan prestasi semasa namun dia mahukan para pemain mengekalkan disiplin jika mahu merebut kedudukan kedua liga.

“Kalau ikut pada situasi semasa, kita mempunyai peluang untuk mendapat tempat kedua dalam liga tetapi bagaimana cara kita bergerak ke arah itu dalam tempoh lima perlawanan dan kita akan bertemu Selangor di Alor Setar.
“Tetapi kalau momentum ini kita bawa, kita boleh beri saingan dengan disiplin yang baik tidak mustahil kita mampu capai sasaran ke kejohanan Asia.”