KETUA pasukan Kedah Darul Aman FC, Manuel Ott merasakan ianya adalah perlawanan terbaik pasukannya ketika mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) 3-3 di Stadium Darul Aman pada Sabtu.

Ini selepas Ott menjaringkan gol kedua Kedah ketika membantu Sang Kenari menunda hasrat Harimau Selatan untuk menjulang kejuaraan Liga Super kali kesepuluh berturut-turut

“”Bagi kami ini adalah permainan terbaik kami musim ini dan saya bangga dengan rakan-rakan sepasukan kerana berjaya memberikan cabaran yang hebat kepada JDT.

“Aksi yang cukup baik dari semua pemain malam ini yang menunjukkan keinginan yang tinggi untuk menang dan tiada siapa boleh pertikai mengenai permainan pasukan dalam perlawanan ini.

“Saya juga merasakan JDT mungkin terkejut dengan keputusan malam ini dan secara keseluruhannya saya berpuas hati dan berharap kami dapat meneruskan momentum cemerlang ini untuk perlawanan akan datang,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Ott juga berharap mereka akan terus konsisten dalam baki saingan liga untuk memastikan Kedah dapat menamatkan saingan liga di tangga kedua untuk melayakkan diri ke saingan kelab Asia musim hadapan.

“Ini adalah satu peningkatan yang positif dan berharap kami akan terus konsisten. Seperti yang saya katakan, kami masih mempunyai sasaran yang perlu dicapai iaitu cuba menamatkan saingan liga di tangga kedua untuk bermain di kejohanan Asia tahun hadapan,” jelasnya.

Kedah kini dalam momentum terbaik untuk merebut tempat kedua namun perlu mengharungi baki lima perlawanan yang sukar dengan akan bertemu pencabar utama, Selangor dan Sabah.