KETUA jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan Razali mengakui peluang pasukannya untuk mara ke final Piala Malaysia semakin tipis selepas kekalahan besar 0-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, pada Jumaat malam.

Badrul bagaimanapun tetap memuji semangat juang anak buahnya yang berusaha keras sepanjang perlawanan, walaupun kesilapan individu dan hilang fokus menjadi punca utama kekalahan besar itu.

“Secara keseluruhan saya puas hati dengan semangat pemain yang bersungguh-sungguh mencari kemenangan. Tetapi kami hilang konsentrasi, terutama pada separuh masa pertama.

“Kami ada peluang untuk menjaringkan gol, namun gagal memanfaatkannya. Dalam 20 minit terakhir, hilang fokus sekali lagi menyebabkan kami dibolosi tiga gol,” katanya.

Jurulatih itu turut menyatakan bahawa pasukan sudah bersedia menghadapi ancaman JDT, khususnya menerusi situasi bola mati. Namun, kelekaan pemain ketika melakukan tugasan bertahan menyumbang kepada gol-gol yang dijaringkan oleh pelawat.

“Kita memang sudah lakukan latihan untuk situasi set pieces kerana tahu bahayanya JDT di bahagian itu. Tapi hilang fokus ketika marking dan memberi arahan menyebabkan kami dihukum,” tambahnya.

Mengenai taktikal, Badrul menjelaskan bahawa beliau menurunkan pemain-pemain seperti Ismail, Syakir, dan Akhyar Rashid untuk memanfaatkan kepantasan di bahagian sayap bagi menembusi benteng JDT.

Namun, kegagalan pasukan mengekalkan intensiti permainan pada separuh masa kedua menyebabkan serangan mereka kurang berkesan.

“Separuh masa pertama, mereka melakukan tugas dengan baik, tetapi pada separuh masa kedua sokongan pasukan berkurang. Peluang yang ada juga tidak dimanfaatkan, menyebabkan kami leka dan dibolosi dengan gol mudah,” katanya lagi.

Mengulas mengenai peluang Terengganu untuk aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Badrul secara realistik menyatakan ia adalah tugas yang amat sukar.

“Peluang ke final memang tipis. Kekalahan 0-4 di tempat sendiri sangat sukar untuk diatasi, lebih-lebih lagi apabila beraksi di SSI. Kami tahu betapa sukarnya untuk bangkit mencatat kemenangan besar di sana,” jelasnya.

Namun, Badrul menegaskan fokus utama pasukannya kini adalah Shopee Cup, di mana Terengganu akan menentang PSM Makassar pada 22 Oktober. Beliau berharap pengalaman mengendalikan jadual padat ini dapat membantu pemain lebih matang di masa depan.

“Untuk tahun ini, kami tiada skuad yang terlalu mendalam. Jadi, saya harap pemain dapat menggunakan pengalaman ini dengan baik.

“Bila jadual padat, pemain perlu betul-betul mendapatkan rehat yang mencukupi,” katanya.

Kekalahan ini meletakkan Terengganu FC dalam situasi getir, namun mereka tetap berazam untuk memberikan yang terbaik dalam setiap kejohanan yang dihadapi.

Pasukan itu akan cuba memperbaiki persembahan dalam baki perlawanan musim ini sambil mengharapkan keajaiban di SSI nanti.