KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio terus memuji prestasi cemerlang anak buahnya yang dianggap bermain dengan penuh disiplin dan meraih kemenangan selesa 4-0 dalam perlawanan separuh akhir Piala Malaysia menentang Terengganu pada Jumaat.
Bagaimanapun, dia mengingatkan pasukannya untuk tidak terlalu selesa menjelang aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim (SSI). Menurut Bidoglio, JDT menunjukkan ketenangan dan keberkesanan dalam permainan dengan pergerakan pantas serta kawalan bola yang tersusun.
“Pemain bermain dengan baik malam ini. Kami mengawal bola dan permainan. Ada masa kami bermain dengan lebih kompak.
“Walaupun ia perlawanan yang sukar, prestasi keseluruhan pemain sangat baik. JDT bermain sebagai satu pasukan dan menunjukkan potensi sebenar mereka,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Mengulas mengenai perbezaan separuh masa pertama dan kedua, Bidoglio menyatakan bahawa tiada perbezaan ketara dalam corak permainan, namun pemainnya lebih bersabar dan kompak pada separuh masa kedua, yang akhirnya membuahkan lebih banyak jaringan.
Ketika ditanya mengenai peluang JDT untuk mara ke final Piala Malaysia musim ini, Bidoglio mengambil pendekatan berhati-hati dengan mengingatkan semua pihak bahawa masih ada satu lagi perlawanan timbal balik yang perlu diharungi.
“Kami perlu melangkah satu demi satu. Sekarang kami ada perlawanan lain (Liga Super) menentang Terengganu, tetapi semua perlawanan berbeza.
ARTIKEL BERKAITAN : JDT selangkah ke final Piala Malaysia
“Kami perlu fokus pada diri sendiri dan terus berusaha untuk perlawanan-perlawanan penting yang akan datang,” jelasnya.
Mengenai aksi di Iskandar Puteri pada perlawanan kedua nanti, Bidoglio menjangkakan cabaran sukar daripada skuad Penyu yang disifatkannya memiliki barisan pemain berkualiti.
“Bagi saya, semua perlawanan sukar. Fokus utama kami adalah meningkatkan kemahiran individu pemain dan bermain lebih baik sebagai satu pasukan,” tambahnya.
Ketika ditanya mengenai peluang JDT mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia musim ini, Bidoglio tetap optimis dan bersifat realistik terhadap pasukannya.
“Kami ada peluang, tetapi kami perlu berjuang untuk mencapainya,” katanya dengan nada yakin.
Dalam perlawanan tersebut, Terengganu turut memberi tentangan sengit melalui serangan balas pantas, namun JDT berjaya mengekang ancaman itu dengan pertahanan yang agresif dan kompak.
“Terengganu bermain dengan baik, tetapi JDT tahu bagaimana untuk bertahan dalam situasi ini,” ujar Bidoglio sambil memuji usaha lawan.
JDT kini bakal berdepan dua lagi pertemuan menentang Terengganu, satu dalam saingan Liga Super dan satu lagi di perlawanan kedua separuh akhir Piala Malaysia. Bidoglio menegaskan bahawa setiap perlawanan adalah berbeza dan memerlukan strategi yang tersendiri.
Kemenangan malam semalam bukan sahaja memberi kelebihan besar kepada JDT untuk melangkah ke final, tetapi juga menyerlahkan kualiti skuad Harimau Selatan sebagai pasukan yang sukar digugat.
Dengan keyakinan yang semakin memuncak, mampukah JDT mengulangi kejayaan musim lalu? Semua persoalan ini bakal terjawab dalam perlawanan seterusnya di SSI.