BEREGU lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, terus menjadi penyelamat skuad badminton negara apabila meraih kejuaraan di Kejohanan Badminton Terbuka India.

Berdepan Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan yang sedang berada di puncak prestasi selepas memenangi gelaran Terbuka Malaysia minggu lalu, Sze Fei-Nur Izzuddin membawa aura berbeza berbanding ketika tersingkir di pusingan pertama di Axiata Arena.

“Kami amat gembira kerana dapat mengatasi segala pergelutan prestasi minggu lepas (Terbuka Malaysia), kemenangan ini juga saya perlu memuji pasangan saya (Nur Izzuddin), jurulatih dan seluruh pasukan,” kata Sze Fei, kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pada perlawanan itu, Sze Fei-Nur Izzuddin membuka saingan dengan kemenangan 21-15 di set pertama sebelum tewas 13-21 pada set kedua.

Mereka kembali ke landasan tepat apabila berjaya memenangi set penentuan dengan keputusan 21-16, dalam tempoh permainan selama 53 minit.

Menurut Sze Fei, antara faktor membantu kemenangan itu adalah fokus yang menyaksikan mereka berdua tidak melakukan banyak unforces error.

Pasangan nombor 2 dunia itu tidak akan menyertai Indonesia Masters minggu hadapan.