Arsenal mencipta satu rekod memalukan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila mensia-siakan kelebihan dua gol sebelum seri 2-2 dengan pasukan tangga tercorot liga Wolves, awal pagi tadi.
The Gunners mendahului seawal minit kelima menerusi Bukayo Saka dan kelihatan hampir mengesahkan kemenangan apabila Piero Hincapie menggandakan kelebihan pada minit ke-56.
Namun Wolves bangkit lima minit kemudian menerusi rembatan Hugo Bueno sebelum Riccardo Calafiori mengecewakan pelawat apabila menjaringkan gol sendiri pada minit keempat masa kecederaan.
Keputusan itu menyaksikan Arsenal kini hanya lima mata di depan pasukan tangga kedua Manchester City, yang beraksi kurang satu perlawanan.
Lebih memalukan, keputusan awal pagi tadi menyaksikan Arsenal mencatat rekod buruk: ia merupakan kali pertama dalam sejarah EPL pendahulu liga melepaskan kelebihan dua gol atau lebih kepada pasukan yang berada di dalam zon penyingkiran.
Wolves, yang sudah lama terperangkap di zon penyingkiran, hanya mengumpul 10 mata daripada 27 perlawanan, dengan satu kemenangan, 19 kekalahan, 18 gol dijaringkan dan 50 gol bolos – statistik terburuk liga utama. – AGENSI