Kredit Gambar: MSN Malaysia

Kem boling padang negara menambah dua lagi pingat perak pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 apabila pasangan wanita Aleena Ahmad Nawawi-Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman serta pemain perseorangan lelaki, Izzat Shameer Dzulkeple, masing-masing muncul naib juara dalam acara mereka di Scottish Event Campus (SEC), hari ini.

Lebih membanggakan, Izzat mengukir sejarah sebagai pemain Malaysia pertama memenangi pingat dalam acara perseorangan lelaki di pentas Sukan Komanwel.

Pemain berusia 25 tahun itu terpaksa akur dengan kehebatan wakil England, Sam Tolchard yang menang 2-0 dalam aksi final, namun pencapaiannya tetap mencipta rekod baharu buat negara.

Kejayaan itu mengatasi pencapaian terbaik Malaysia sebelum ini dalam acara sama yang dilakar Fairul Izwan Abdul Muin apabila menamatkan saingan di tempat keempat pada edisi Birmingham 2022. Fairul kini merupakan ketua jurulatih skuad boling padang kebangsaan.

Sementara itu, Aleena dan Syafiqa turut menghadiahkan pingat perak selepas tewas tipis 0.5-1.5 kepada pasangan England, Amy Pharaoh dan Sian Honnor dalam final acara pairs wanita.

Walaupun gagal meraih emas, pencapaian itu tetap menjadi keputusan terbaik Malaysia dalam acara berkenaan sejak gandingan Emma Firyana Saroji dan Siti Zalina Ahmad muncul juara pada edisi Gold Coast 2018.

Pingat yang dimenangi Aleena dan Syafiqa juga merupakan kilauan pertama kem boling padang negara di Glasgow sebelum disusuli kejayaan Izzat beberapa jam kemudian.

Setakat ini, kontinjen Malaysia telah mengumpul empat pingat emas yang kesemuanya hadir menerusi acara angkat berat hasil kejayaan Mohamad Aniq Kasdan (60kg), Muhamad Aznil Bidin (65kg), Muhammad Erry Hidayat (79kg) dan Muhammad Hafizuddin Roslin (88kg).

Cabaran skuad boling padang negara di Glasgow bagaimanapun masih diteruskan dengan harapan seterusnya kini disandarkan kepada pemain nombor satu dunia, Emma Firyana Saroji yang memulakan saingan dalam acara perseorangan wanita.