PERLAWANAN persahabatan yang dinanti-nantikan antara Chelsea FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) kini akan berlangsung lebih awal selepas tarikh asal 11 Ogos 2026 dijadualkan semula ke 9 Ogos 2026.
Menurut penganjur, TEG Sport, perubahan jadual itu dipersetujui bersama oleh kedua-dua kelab bagi memberi lebih ruang kepada Chelsea dan JDT membuat persiapan menjelang musim baharu. Walaupun tarikh berubah, lokasi perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim serta waktu sepak mula pada jam 8 malam kekal seperti yang diumumkan sebelum ini.
Perlawanan tersebut dijangka menjadi antara acara bola sepak terbesar di Malaysia pada tahun depan apabila juara Liga Perdana Inggeris itu turun menentang juara Liga Super Malaysia di hadapan penyokong tempatan.
Bagi pemegang tiket sedia ada, semua tiket yang telah dibeli masih sah digunakan untuk tarikh baharu tanpa sebarang proses pertukaran. Penyokong hanya perlu hadir ke stadium pada 9 Ogos untuk menyaksikan aksi berkenaan.
Dalam masa sama, penganjur turut menyediakan pilihan bayaran balik penuh kepada penyokong yang tidak dapat menghadiri perlawanan pada tarikh baharu. Permohonan perlu dibuat sebelum 30 Jun 2026 dan akan merangkumi harga tiket serta yuran kemudahan yang dikenakan ketika pembelian.
Pertembungan itu kekal menjadi sebahagian daripada persiapan pramusim Chelsea menjelang kempen 2026/27, selain memberi peluang kepada JDT menguji kemampuan mereka menentang salah sebuah kelab elit Eropah di laman sendiri.
Chelsea hadir ke Malaysia dengan reputasi sebagai juara bertahan Piala Dunia Kelab FIFA serta antara kelab paling berjaya di England dan Eropah, manakala JDT pula meneruskan dominasi bola sepak tempatan selepas meraih 12 kejuaraan Liga Super berturut-turut serta mencipta pelbagai kejayaan di pentas Asia.
Tiket perlawanan masih ditawarkan kepada orang ramai dengan harga bermula RM154, manakala tawaran pembelian awal (early bird) akan berakhir pada 30 Jun ini.