KAPTEN Belanda, Virgil van Dijk gesa rakan-rakannya meningkatkan prestasi untuk mara lebih jauh di Piala Dunia, selepas pasukannya menang 2-0 ke atas juara Afrika, Senegal.

“Kami menang, tapi dalam masa sama, pasukan boleh dan perlu melakukan sesuatu yang lebih baik lagi,” kata Van Dijk selepas Belanda mencapai kemenangan menerusi jaringan lewat perlawanan hasil jaringan penyerang PSV Eindhoven, Cody Gakpo dan pemain tengah, Davy Klaassen.

The Oranje kini mendahului Kumpulan A selepas kemenangan di Stadium Al Thumama itu.

“Ketika menyerang kami cuba melakukan sesuatu hingga membuatkan kami terdedah dengan serangan balas Senegal,” kata van Dijk.

Belanda kini berkongsi tiga mata dalam Kumpulan A selepas Ecuador menewaskan tuan rumah Qatar 2-0 pada perlawanan pembukaan.

Van Dijk yang juga bintang Liverpool membuat penampilan sulungnya di Piala Dunia, manakala jurulatih pasukan, Louis van Gaal memberikan kaps pertama kepada penjaga gol Andries Noppert.

Cody Gakpo meraikan jaringannya.

“Menjadi impian saya sejak kecil untuk bermain di Piala Dunia, tapi saya tidak sangka menjadi realiti,” kata Noppert.

“Ia sesuatu yang istimewa apabila jurulatih penjaga gol, Frans Hoek pada Jumaat lalu memberitahu saya akan disenaraikan. Semakin hampir hari perlawanan, debaran semakin bertambah tetapi ia sesuatu yang baik.

“Malah, dalam bola sepak di saingan kelab saya tidak pernah beraksi di peringkat antarabangsa tetapi kamu akan memiliki peluang itu apabila tiba masanya,” katanya. – AFP