LUCAS Chevalier mencipta malam impian pada penampilan sulungnya bersama Paris Saint-Germain (PSG) apabila menjadi wira kemenangan ke atas Tottenham Hotspur dalam aksi Piala Super UEFA di Udine, awal pagi tadi.

Penjaga gol berusia 23 tahun itu, yang baru tiba dari Lille pada Ahad lalu, mempamerkan aksi penuh berani termasuk menyelamatkan percubaan Micky van de Ven ketika penentuan sepakan penalti untuk membantu PSG meraih trofi menerusi kemenangan 4-3 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Keputusan Luis Enrique menggugurkan Gianluigi Donnarumma daripada skuad menjadi topik hangat sepanjang minggu, namun Chevalier menjawab segala persoalan dengan ketenangan dan aksi menyelamat akrobatik yang mencuri tumpuan.

“Kami bergantung pada Lucas. Dia baru tiba, tetapi inilah masanya untuk dia menonjol,” ujar Enrique yang memuji keberanian penjaga gol baharunya itu.

Ousmane Dembele turut mengakui ia seperti kisah dongeng apabila Chevalier masuk, mengawal tekanan besar dan akhirnya menjadi pemutus kemenangan PSG.

“Permulaan yang baik untuknya, kami gembira,” katanya.

PSG kini membawa semangat kemenangan itu untuk memulakan kempen Ligue 1 menentang Nantes, Ahad ini.