IMPIAN pemain bola sepak remaja Malaysia untuk berlatih di salah satu pusat pembangunan terbaik dunia kembali terbuka apabila program Biasiswa Bakat Dashing memasuki edisi keduanya tahun ini.

Inisiatif anjuran jenama penjagaan diri lelaki terkemuka negara itu memberi peluang kepada tiga pemain muda terpilih untuk menjalani latihan eksklusif di Pusat Latihan Tottenham Hotspur, London.

Program ini menyasarkan remaja lelaki berusia 15 hingga 18 tahun dengan matlamat mengenal pasti bakat dari akar umbi sebelum diasah ke tahap tertinggi.

Para peserta diminta menghantar klip video pendek mempamerkan kemahiran mereka ke Instagram atau TikTok rasmi @biasiswabakatdashing, sebelum panel jurulatih berpengalaman memilih 120 pemain untuk menghadiri Kem Identifikasi Bakat Eksklusif pada Oktober ini di Arena Sukan, Kuala Lumpur.

Kem berkenaan bakal dikendalikan oleh Jurulatih Pembangunan Global Tottenham Hotspur, dengan latihan intensif, penilaian berstruktur dan pembangunan bakat yang akan menentukan tiga pemain terbaik untuk ke London.

“Biasiswa Bakat Dashing bukan sekadar kempen, ia adalah usaha berterusan untuk memberi keyakinan, pendedahan awal dan peluang kepada belia Malaysia,” kata Pengurus Pemasaran Dashing, Devarshi Dalmia.

“Kami mahu menginspirasi mereka agar berlatih lebih keras dan percaya bahawa mereka mampu bersaing di pentas antarabangsa.”

Dengan menggabungkan elemen sukan, disiplin, dan pendedahan global, Biasiswa Bakat Dashing dilihat mampu menyumbang kepada pembangunan ekosistem bola sepak negara, selain membuka jalan kepada generasi muda untuk menggapai puncak kegemilangan.