MIMPI Vietnam berkecai di pentas separuh akhir apabila China melakar sejarah tersendiri dengan mara ke final Piala Asia B-23 buat kali pertama selepas kemenangan bergaya 3-0 ke atas juara Kumpulan A itu di Jeddah, awal pagi tadi.

Perlawanan yang dijangka sengit berubah arah sebaik babak kedua bermula apabila pertahanan China, Peng Xiao, menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke-47 sebelum Xiang Yuwang menggandakan kelebihan hanya lima minit kemudian, sekali gus mengejutkan kem Vietnam yang hadir dengan reputasi serangan berbisa.

China yang sebelum ini lebih dikenali dengan disiplin bertahan, sekali lagi mempamerkan organisasi mantap apabila kekal tanpa bolos sepanjang kejohanan, malah hanya meledak satu gol sebelum suku akhir.

Namun di separuh akhir, pendekatan lebih berani membuahkan hasil dengan tujuh percubaan tepat sasaran daripada 16 usaha keseluruhan.

Vietnam cuba bangkit namun tekanan memuncak memakan diri apabila Ly Duc Pham dilayangkan kad merah selepas bertindak balas terhadap penyerang China, Baihelamu, ketika Peng meraikan jaringan yang akhirnya dibatalkan VAR kerana ofsaid.

Insiden itu seakan mematikan terus semangat anak buah Kim Sang-sik.

China menutup malam bersejarah itu menerusi jaringan Wang Yudong pada masa kecederaan, sementara penjaga gol Li Hao terus menjadi benteng kebal dengan beberapa aksi menyelamat penting termasuk menepis sepakan percuma Van Khang Khuat.

Kemenangan ini bukan sahaja menamatkan kemaraan sensasi Vietnam, malah memadam sejarah hitam China yang gagal melepasi peringkat kumpulan dalam lima penampilan terdahulu.

China kini bersedia menguji tahap sebenar kebangkitan mereka apabila dijadual menentang juara bertahan, Jepun, dalam aksi final yang dijangka menjadi pentas penentu status baharu kuasa Asia.