LEGENDA jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menggesa atlet yang tersenarai dalam Program Road to Gold (RTG), agar menandatangani kontrak program itu demi memastikan sokongan menyeluruh yang ditawarkan kerajaan dimanfaatkan sepenuhnya.
Chong Wei yang juga panel RTG menegaskan bahawa atlet tidak sepatutnya melihat RTG sebagai satu bentuk ‘kekangan’ sebaliknya satu sokongan menyeluruh daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) serta pihak swasta demi misi emas sulung negara di Olimpik Los Angeles 2028.
“Kita dulu tiada peluang macam ini. Sekarang semua servis diberikan, termasuk fisioterapi dan penganalisis prestasi.
“Kalau pemain profesional macam (Lee) Zii Jia tak ada dalam BAM (Persatuan Badminton Malaysia) pun, dia tetap dapat bantuan.
“Jadi saya harap dia fikir betul-betul dan terima peluang ini,” kata Chong Wei, pada sidang media pertama RTG 2025 di Menara KBS, Putrajaya.
Mengulas mengenai syarat baru kemasukan ke dalam RTG iaitu berada dalam kelompok Top 10 bagi tahun 2025, Top 8 (2026) dan empat terbaik dunia (2027-2028), Chong Wei menyifatkan ia sebagai satu penanda aras realistik untuk melahirkan pemenang pingat emas.
“Kalau kita nak medal, kita kena sasarkan atlet yang memang berpotensi. Tapi kalau ada yang cedera dan kembali dengan prestasi hebat, kita kena tengok kes demi kes,” tambahnya.
Berdasarkan senarai awal cadangan untuk RTG tahun ini, terdapat 16 atlet dan 13 daripadanya dari sukan badminton, dua dari berbasikal trek dan satu dari angkat berat.
Sebagai pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris tahun lalu, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik serta Zii Jia mengetuai senarai diikuti Pearly Tan, M Thinaah, Chen Tang Jie, Toh Ee Wei, Goh Sze Fei, Nur Izzuddin Rumsani, Goh Soon Huat, Shevon Lai, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun manakala tiga lagi atlet adalah Mohd Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (berbasikal) serta Mohd Aniq Kasdan (angkat berat).
Dalam perkembangan lain, beliau turut memberi pandangan terhadap kemelut dalam beregu campuran negara membabitkan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
“Kalau mereka pecah, mereka kena mula dari bawah balik. Sayang sebab sekarang mereka dalam kelompok lima terbaik dunia. Harap mereka boleh duduk berbincang dan fikir untuk jangka panjang, bukan hanya dua tiga kejohanan,” jelas Chong Wei.