SELEPAS menjulang gelaran juara Asia, pasangan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik kini memburu untuk menawan semula gelaran juara dunia yang kali terakhir dimiliki pada edisi 2022 di Jepun.
Kejayaan terbaharu di Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China memberikan suntikan semangat besar buat mereka untuk terus melakar kejayaan di pentas antarabangsa.
Kejohanan Dunia dijadual berlangsung di Paris, Ogos nanti disifatkan sebagai sasaran realistik terutamanya dengan kehadiran ketua jurulatih baharu, Herry Iman Pierngadi yang membawa pendekatan segar kepada corak permainan mereka.
“Sudah tentu sasaran kami adalah Kejohanan Dunia. Tetapi buat masa ini, kami masih dalam proses menyesuaikan diri dengan gaya kejurulatihan Herry. Ia satu cabaran, namun kami optimis dengan perjalanan yang sedang kami lalui,” kata Aaron kepada media sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin.
Kemenangan di BAC kelmarin menamatkan kemarau 18 tahun negara dalam acara beregu lelaki di kejohanan berprestij itu.
Aaron-Wooi Yik menampilkan aksi cemerlang untuk menewaskan beregu tuan rumah, Chen Bo Yang-Liu Yi dengan keputusan 21-19, 21-17, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,000 (RM163,715).