KEADAAN skuad kebangsaan kini menjadi tumpuan berikutan isu penggantungan tujuh pemain naturalisasi oleh FIFA, namun ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski memilih untuk kekal tenang dan tidak terbawa-bawa dengan polemik luar padang.
Fokusnya jelas memastikan Malaysia terus berada di landasan tepat menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 18 November ini.
Malaysia kini mendahului Kumpulan F dengan 12 mata penuh selepas empat perlawanan, diikuti Vietnam (9), Laos (3) dan Nepal (0).
Momentum itu bukan sahaja mahu dikekalkan, malah diperkukuhkan dengan prestasi meyakinkan sebelum berdepan Vietnam di Hanoi pada Mac tahun depan.
“Bagi saya mudah. Saya hanya fokus pada apa yang saya boleh kawal memastikan hari ini dan setiap hari kita buat dengan betul.
“Apa yang orang fikir atau katakan adalah di luar kawalan saya.
Saya hanya mahu membuat rakyat Malaysia bangga melalui cara kita bermain, identiti bola sepak kita, keputusan kita, dengan menutup tahun tanpa kalah, bermain bola sepak yang baik, menjaringkan gol dan mengekalkan gawang bersih,” kata Cklamovski.
Walaupun isu pemalsuan dokumen yang melibatkan tujuh pemain naturalisasi memberi kesan besar kepada perancangan awal skuad negara, Cklamovski menegaskan aura dalam kem nasional masih utuh.
Clamovski menggambarkan suasana latihan sebagai “semangat,disiplin, fokus dan profesional.”
Namun, jurulatih kelahiran Australia itu tidak sesekali mahu pasukannya merasa selesa atau mengambil mudah lawan yang berada di tangga tercorot.
“Kita tidak boleh ambil apa-apa sebagai mudah. Kita perlu bekerja keras, kekal merendah diri dan terus membina bola sepak kita kerana kita bakal berdepan lawan yang bukan senang malam Selasa nanti.”