KAPTEN Chelsea, Reece James sekali lagi terpaksa mengharungi episod duka dalam kerjayanya apabila mengalami kecederaan hamstring ketika sesi latihan baru-baru ini.
Perkara itu telahpun disahkan oleh jurulatih Chelsea, Enzo Maresca, pada Khamis.
James, yang baru sahaja kembali ke padang pada Oktober selepas pulih daripada kecederaan sebelum ini, kini berdepan tempoh pemulihan baharu.
Sepanjang musim ini, bintang England itu hanya sempat beraksi dalam empat perlawanan sebelum kecederaan terbaharu ini menimpa.
Menurut laporan media London, James sering dibelenggu kecederaan, termasuk masalah lutut dan hamstring yang menghadkan penampilannya kepada hanya 16 perlawanan liga pada musim 2022-23.
Namun begitu, di sebalik kecaman dan cadangan segelintir pihak agar dia bersara, James tetap bertekad untuk bangkit dan terus berjuang.
“Hai semua, saya berharap anda semua baik-baik sahaja, pesanan ini untuk mereka yang memahami dan menghormati apa yang saya lalui.
“Saya amat menghargai sokongan dan mesej anda. Ia lebih bermakna daripada apa yang anda bayangkan.
“Saya okey, pernah rasa lebih baik, dan juga pernah rasa lebih buruk. Cabaran baharu di hadapan telah saya terima. Akhirnya saya akan berjaya melaluinya. Against all odds,” luahnya.
Sebagai pemain yang berasal dari akademi Chelsea yang menjadi kebanggaan kelab, James berharap agar dapat pulih dengan segera dan kembali membantu pasukannya di atas padang selepas ini.