KONTINJEN Malaysia mencuri tumpuan pada Upacara Pembukaan Sukan SEA 2025 apabila 59 wakil negara berarak penuh bergaya dengan busana batik kontemporari yang memukau.

Perarakan itu diketuai dua ikon sukan negara, jaguh olahraga Andre Anura Anuar dan Ratu Ski Air Asia, Aaliyah Yoong Hanifah selaku pembawa Jalur Gemilang.

Ketua Kontinjen, Nurul Huda Abdullah bersama tiga Timbalan Ketua Kontinjen – Dato’ Kenny Goh, Nazmizan Muhammad dan Jivan Mohan, turut mengetuai barisan utama Malaysia.

Atlet dari sukan olahraga, ski air, luncur ais dan hoki ais melengkapkan formasi perarakan, disertai pegawai sekretariat daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Busana batik yang dipakai kontinjen negara tampil moden dan berani, menggabungkan tradisi dengan elemen kontemporari untuk melambangkan identiti Malaysia masa kini.

Asas putih pada baju membawa makna kesucian niat dan fokus, manakala corak biru organik di bahagian sisi menyerlahkan aliran tenaga serta keteguhan mental atlet negara.

Sempadan kuning dan sentuhan merah pula menambah simbol harapan serta keberanian, dengan jalur minimalis di lengan memberi interpretasi moden kepada Jalur Gemilang.

Melengkapkan perarakan bergaya, kasut tajaan Skechers, sekali gus rekaan ini menjadi lambang Malaysia bukan sekadar menyertai – tetapi pernyataan visual tentang bangsa yang melangkah megah di pentas Asia Tenggara.

FOTO: BERNAMA