KETUA jurulatih skuad wanita negara, Joel Cornelli menyifatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Palestin malam tadi sebagai hasil kerja keras pasukan yang kekal berdisiplin dalam menghadapi tekanan lawan yang jauh lebih berbahaya daripada kedudukan ranking mereka.
Menurut Cornelli, beliau dan barisan kejurulatihan telah melakukan analisis terhadap perlawanan-perlawanan sebelum ini yang melibatkan Palestin termasuk kemenangan mereka ke atas Arab Saudi dan menjangkakan tentangan sengit dalam aksi pembukaan Kumpulan H Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 di Dushanbe.
“Kita tahu Palestin bukan sekadar pasukan berranking rendah. Mereka ada beberapa pemain yang kuat secara individu dan boleh beri masalah jika kita leka. Jadi kami fokus kepada organisasi pertahanan,” katanya selepas perlawanan.
Cornelli turut menjelaskan bahawa pendekatan menyerang dan tekanan tinggi yang digunakan pasukan ada risikonya, termasuk memberi ruang kepada lawan untuk mencipta peluang. Namun beliau tetap berpuas hati dengan cara pasukan bertahan dan mengawal keadaan sepanjang perlawanan.
“Gaya permainan kami adalah untuk menekan sepanjang masa, jadi memang ada ketika kita tinggalkan ruang. Tapi secara keseluruhan, saya sangat gembira dengan prestasi pemain. Kami layak menang,” tambahnya.
Malaysia kini di tangga kedua selepas Korea Utara mencatatkan kemenangan besar ke atas Tajikistan 10-0 malam Ahad.
Kemenangan ini menyaksikan Malayan Tigress bermula garang dalam kempen kelayakan, namun cabaran lebih besar menanti mereka apabila bertemu tuan rumah, Tajikistan, sebelum menutup aksi kumpulan menentang gergasi Asia, Korea Utara pada 2 Julai.
FOTO:FAM