TAN Sri Hamidin Mohd Amin kini kembali secara rasmi ke dalam keluarga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila dilantik sebagai Presiden Kehormat menerusi Kongres Luar Biasa FAM 2025 yang berlangsung pagi ini di Hotel Dorsett Grand Subang.
Pelantikan sebulat suara oleh ahli kongres itu sebagai satu bentuk penghormatan terhadap legasi dan jasa besar beliau sepanjang menerajui FAM dari 2018 hingga awal 2024, termasuk membawa Harimau Malaya kembali ke pentas Piala Asia selepas 42 tahun.
Dengan pelantikan ini, Hamidin menjadi individu kedua dalam sejarah FAM diberikan anugerah tersebut selepas Almarhum Sultan Ahmad Shah pada 2014. Jawatan ini tidak membawa kuasa eksekutif mahupun hak mengundi, namun bersifat simbolik sebagai penghargaan tertinggi dalam organisasi bola sepak negara.
Langkah ini juga mencerminkan amalan badan bola sepak antarabangsa yang menghargai sumbangan tokoh-tokoh penting dalam pembangunan sukan, dan dijangka menyuntik nilai tambah kepada kredibiliti serta hala tuju strategik FAM.
Dalam pada itu, Kongres turut meluluskan pelantikan barisan baharu bagi Jawatankuasa-jawatankuasa Bebas FAM bagi penggal 2025–2029, termasuk Jawatankuasa Audit dan Pematuhan yang dipengerusikan Encik Khairul Kamarudin serta Jawatankuasa Tatatertib yang diketuai Datuk Dr. Baljit Singh.
Antara pelantikan lain yang turut diumumkan ialah YDH CP (B) Dato’ Sri Mohd Mokhtar sebagai Pengerusi Jawatankuasa Rayuan FAM, Profesor Dato’ Dr. Abdullah Said mengetuai Jawatankuasa Pemilihan, dan Puan Sharen Ram Singh mempengerusikan Jawatankuasa Rayuan Pemilihan.
Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan (NDRC) pula diterajui Dato’ Dr. Abd Shukor manakala Majlis Rayuan NDRC diketuai Shahrizal Hisham Abdul Halim — melengkapkan struktur pentadbiran bebas yang baharu bagi FAM.