PENGENDALI Selangor FC, Kim Pan-gon menegaskan kemenangan 2-1 ke atas Nam Dinh FC dalam aksi separuh akhir pertama ACC Shopee Cup belum menjamin apa-apa buat pasukannya.
Pengendali dari Korea Selatan itu mengakui Selangor memiliki kelebihan satu gol menjelang aksi timbal balik di Vietnam, namun menyedari cabaran lebih sukar menanti di gelanggang lawan.
“Tidak, ia bukan kemenangan yang selesa, tetapi kami pergi dengan kelebihan satu gol, itu satu kelebihan.
“Nam Dinh sangat kuat di tempat sendiri. Kami sudah melihat bagaimana mereka bermain di laman sendiri sebelum ini, jadi kami perlu bersedia dan tidak mensia-siakan peluang ini,” katanya selepas perlawanan.
Dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam tadi, penyerang import Chrigor Moraes muncul wira Selangor apabila meledak dua gol penting untuk membantu Red Giants membawa bekalan tipis ke Vietnam.
Kim menyifatkan perlawanan itu berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan saling memberi tentangan sepanjang 90 minit permainan.
“Ia adalah perlawanan yang sukar. Nam Dinh pasukan yang kuat dan saya rasa perlawanan ini sangat seimbang.

Pengendali Selangor FC, Kim Pan-gon (Sumber Gambar: FB Selangor FC)
“Saya bangga dengan semua pemain Selangor. Mereka sangat kental, berazam dan bersatu sebagai satu pasukan,” katanya.
Menurut beliau, pemain berjaya melaksanakan perancangan taktikal yang dirangka barisan kejurulatihan selain memuji sokongan penyokong Selangor yang hadir memeriahkan stadium.
“Saya menghargai semua penyokong Red Giants yang datang memberikan sokongan. Suasana di stadium sangat hebat dan membantu kami terus berjuang,” katanya lagi.
Mengulas aksi timbal balik nanti, Kim menjangkakan Nam Dinh akan tampil lebih agresif di hadapan penyokong sendiri.
“Ia pasti sangat sukar. Saya jangkakan mereka akan menyerang kami habis-habisan.
“Tetapi mereka juga perlu tahu kami mempunyai pemain menyerang dan pemain sayap yang bagus. Kami juga boleh menyerang mereka,” katanya.
Sumber Gambar: FB Selangor FC