PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga Juara-Juara Elit AFC selepas tewas 1-2 kepada juara bertahan, Al-Ahli dalam aksi suku akhir di Jeddah, awal pagi tadi.

Skuad Harimau Selatan melakukan kejutan apabila berjaya mendahului seawal minit ke-19 hasil jaringan sendiri pemain lawan, sekali gus memberi kelebihan awal buat wakil Malaysia itu.

Namun, kelebihan tersebut tidak bertahan lama apabila Franck Kessié menyamakan kedudukan buat tuan rumah pada masa kecederaan babak pertama.

Detik gol pertama Al Ahli yang dijaringkan oleh Franck Kessie pada minit ke-45+3. (Sumber Gambar: FB Al Ahli)

Memasuki separuh masa kedua, Al-Ahli tampil lebih agresif dan berjaya mendapatkan gol kemenangan menerusi Galeno pada minit ke-54.

Perlawanan turut diwarnai beberapa insiden tegang termasuk layangan kad merah kepada pemain Al-Ahli, Ali Majrashi selain beberapa kekasaran yang mencetuskan kontroversi sepanjang aksi berlangsung.

Pemain-pemain JDT memanggil pihak perubatan untuk datang merawat Jairo yang rebah selepas ditendang di muka oleh Ali Majrashi. (Sumber Gambar: FB JDT)

Salah satu insiden mencuri perhatian apabila pemain JDT, Jairo da Silva rebah selepas terkena tendangan di muka oleh Ali Majrashi dalam satu situasi perebutan bola.

Walaupun cuba bangkit mencari gol penyamaan, JDT gagal memanfaatkan peluang yang ada sehingga wisel penamat dibunyikan.

Kekalahan itu menyaksikan perjalanan cemerlang JDT dalam saingan elit Asia berakhir di peringkat suku akhir, namun tetap mencipta sejarah sebagai wakil Malaysia yang melangkah sejauh ini.