PENYERANG sensasi Al-Nassr, Cristiano Ronaldo sekali lagi membuktikan kehebatannya apabila menjaringkan gol dalam kemenangan 3-1 Al-Nassr ke atas Al-Fateh dalam saingan Liga Pro Saud, awal pagi Isnin.
Gol tersebut terjadi daripada hasil bantuan Sadio Mane, yang merupakan jaringan ke-14 bintang Portugal itu dalam liga musim ini.
Kemenangan penting ini menyaksikan Al-Nassr melonjak ke tangga ketiga liga, mengatasi Al-Qadisiyah, yang dijadualkan menentang pendahulu liga, Al-Hilal, pada awal pagi Selasa.
Selepas perlawanan, Ronaldo sempat menyampaikan mesej penuh semangat di akaun Instagram miliknya.
Dalam hantaran tersebut, Ronaldo memuat naik beberapa foto kemenangan bersama kapsyen ringkas, “We’re not stopping,” tulisnya.
Walaupun penuh dengan keyakinan, Al-Nassr masih dianggap sukar untuk mencabar Al-Hilal dan Al-Ittihad bagi merebut kejuaraan Liga Pro Saudi musim ini.
Ketika ini, pasukan itu ketinggalan lapan mata di belakang kedua-dua pendahulu liga tersebut dan telah bermain satu perlawanan lebih.

Kedudukan terkini Saudi Pro League.
Justeru, Al-Nassr dijangka akan bersaing sengit dengan Al-Qadisiyah bagi merebut tempat terakhir yang melayakkan mereka ke Liga Juara-Juara Asia.
Ronaldo kini bersedia untuk menambah jumlah jaringannya apabila Al-Nassr turun menentang Al-Raed pada Jumaat.
Dengan semangat tinggi untuk terus memburu kemenangan, bintang Portugal itu terus menjadi nadi utama kebangkitan Al-Nassr musim ini.