JURULATIH AC Milan, Sergio Conceicao mencetuskan perhatian ramai selepas insiden pertengkarannya dengan kapten pasukan, Davide Calabria, dalam perlawanan Serie A menentang Parma di San Siro pada Ahad.

Milan berjaya bangkit daripada ketinggalan dua kali untuk meraih kemenangan dramatik 3-2 hasil jaringan Tijjani Reijnders dan Samuel Chukwueze di masa kecederaan.

Namun, tumpuan bukan sahaja terarah kepada keputusan perlawanan, tetapi juga kepada adegan panas antara Conceicao dan Calabria selepas wisel penamat. Conceicao dilihat menghampiri Calabria sambil menjerit, yang mencetuskan perdebatan sengit sehingga memerlukan campur tangan pemain lain untuk meleraikan keadaan.

Dalam kenyataan selepas perlawanan, Conceicao menepis kontroversi tersebut, menegaskan bahawa tindakannya adalah demi kebaikan pasukan.

Dia menyamakan insiden itu dengan pendekatan mendidik anak-anak yang memerlukan teguran apabila berkelakuan tidak sesuai.

“Kadang-kadang, adrenalin seperti ini muncul dalam perlawanan, dan anda perlu ada semangat dalam sukan ini. Saya rasa ini sesuatu yang baik

“Ia sama seperti anak-anak anda. Jika mereka nakal, anda perlu bertindak. Saya seorang yang terus terang, dan semua tahu kami mahu membina hubungan yang kuat dan semangat berpasukan di sini,” kata Conceicao kepada Football Italia.

Dengan kemenangan ini, Milan melonjak ke tangga keenam Serie A dengan 34 mata selepas 21 perlawanan. Bagaimanapun, insiden ini mungkin menjadi cabaran kepada Conceicao untuk memastikan keharmonian pasukan kekal kukuh.