KERAJAAN terus membuktikan kesungguhan terhadap perburuan pingat emas Sukan Olimpik pertama negara, apabila memberi komitmen menerusi peruntukan RM10 juta untuk Program Road to Gold (RTG) 2025.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, peruntukan dana itu tidak akan kekal sama kerana hanya akan dibuat berdasarkan keperluan sehingga menjelang Temasya Los Angeles 2028.
“Dana berjumlah RM10 juta akan diperuntukkannuntuk program RTG 2025,” kata Hannah.
Program RTG kali ini, melibatkan persiapan lebih awal apabila jawatankuasa program elit terbabit mengumumkan 12 atlet bersetuju dan menandatangani komitmen (LOC) untuk berada di bawah program, melibatkan Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Pearly Tan, M. Thinaah, Man Wei Chong, Tee Kai Wun, Chen Tang Jie, Toh Ee Wei dari sukan badminton, Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat), Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (berbasikal) serta S. Sivasangari (skuasy).
Empat lagi atlet badminton belum memberikan persetujuan untuk menyertai progeam terbabit terdiri daripada Goh Sze Fei, Nur Izzuddin Rumsani, Goh Soon Huatdan Shevon Lai dari badminton.
Dana RM10 juta itu juga melibatkan atlet yang diletakkan di bawah program Fast Track 2025, iaitu Ariana Nur Dania, Syaqiera Mashayikh dan Nurul Azreena Fazil (memanah) serta Ng Eain Yow (skuasy).