KAPTEN Malayan Tigress B-19, Lauren Hoh Ruyi meluahkan rasa terharu dan bangga selepas mengetuai pasukan negara mencatat kemenangan bergaya 4-0 ke atas Kemboja dalam aksi pembukaan Kumpulan B Kejuaraan Wanita B-19 AFF 2025 semalam.
Pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu mengakui menyarung lilitan kapten bukan sesuatu yang pernah dia jangka akan berlaku, namun menerima tanggungjawab itu dengan penuh hormat dan semangat untuk terus belajar serta memberi sumbangan kepada pasukan.

“Saya sangat bangga dengan semua pemain hari ini, baik yang bermain mahupun yang memberi sokongan dari tepi padang. Kami benar-benar tunjukkan hasil persiapan kami di atas padang,” katanya yang mengetuai skuad remaja negara buat kali pertama.
Lauren turut menzahirkan penghargaan kepada individu-individu terdahulu dalam arena bola sepak wanita negara, khususnya barisan senior yang telah membuka jalan dan menjadi inspirasi untuk generasi baharu seperti mereka.

“Terima kasih kepada semua yang menonton walau seketika. Sokongan anda sangat bermakna buat kami, terutamanya ketika saat sukar di atas padang,” tambahnya.
Jelasnya lagi, walaupun kemenangan ke atas Kemboja adalah satu permulaan yang manis, fokus kini sepenuhnya terarah kepada perlawanan kedua bertemu Thailand pada 11 Jun yang dijangka menjadi ujian sebenar buat Malayan Tigress B-19.
FOTO:FAM