MALAYSIA tampil dengan prestasi luar biasa pada aksi pertama antarabangsa, apabila menjuarai kejohanan mini football, Asia Fournations Indonesia 2025 yang berakhir semalam.
Kejohanan berlangsung di Jakarta itu menyaksikan skuad mini football negara yang diwakili pasukan dari Persatuan Mini Football Terengganu mengungguli saingan liga sepusingan sekali gus mengejutkan tiga lagi lawan yang cukup berpengalaman.

Jurulatih skuad mini football, Ahmad Rizal Abd Wahab gembira pemain mempamerkan kesungguhan dan menjulan trofi kejuaraan.
Skuad bimbingan Ahmad Rizal Abd Wahab itu menang semua tiga perlawanan membabitkan pasukan tuan rumah, Indonesia, Taiwan dan Singapura.
“Setelah diminta untuk menyertai kejohanan, kami mula memilih pemain sejak tahun lalu yang terdiri daripadsa bekas pemain dari Piala Presiden, Belia Malaysia dan Terengganu FC 2 untuk memperkuat pasukan,” kata jurulatih, Ahmad Rizal.

Sementara itu, pengurus pasukan Dr Mohd Shahrul Faiz Mohd Noor berkata, Asia Fournations Indonesia 2025 (21-25 Ogos) menjadi kejohanan antarabangsa sulung dihantar Persatuan Mini Football Malaysia (Mifom) dan ia dilihat berpotensi untuk menyerlah.
Pada kejohanan terbabit, skuad negara membuka saingan dengan menewaskan tuan rumah, Indonesia menerusi kemenangan 4-2 sebelum mengejutkan pasukan terkuat, Taiwan dengan kemenangan 5-0 dan membelasah Singapura 8-0.

Skuad mini football tiba di KLIA 2 semalam.
Kapten pasukan, Roslee Ariffin berkata, disiplin dan komitmen di padang menjadi keutamaan pasukannya dalam menghadapi setiap lawan.
“Paling puas hati ketika menentang Indonesia kerana ada sentimen perseteruan yang tinggi dalam perlawanan itu, fizikal contact dan penonton sebagaimana perseteruan dalam sukan bola sepak sebenar,” kata Roslee.