PENYERANG muda TNB ThunderStars, Muhammad Danish Aiman terus meletakkan sasaran tinggi menjelang kempen Liga Hoki Malaysia 2026 apabila bertekad untuk membantu pasukan memburu kejayaan treble musim ini.

Pemain yang dinaikkan pangkat daripada skuad pembangunan TNB Thunderbolts itu dilihat sebagai antara bakat muda yang mampu memberi impak segera, khususnya dalam memperkuatkan jentera serangan pasukan utama.

Menggalas tanggungjawab sebagai pemain di posisi serangan dengan jersi nombor 13, Danish optimis untuk memainkan peranan penting dalam memastikan barisan hadapan ThunderStars lebih tajam dan berkesan sepanjang musim.

“Sasaran saya untuk lebih banyak menjaringkan gol dan dapat membantu pasukan menang tiga piala untuk tahun ini.”

“Untuk tahun ini, harapan saya dan pasukan TNB ThunderStars semestinya untuk memenangi ketiga-tiga piala.”

“Secara peribadi saya akan lebih fokus dan memberi yang terbaik untuk perlawanan pertama ini bagi merebut piala pertama untuk pasukan tahun ini dan teruskan menyokong dan berdoa untuk kejayaan pasukan TNB ThunderStars,” kata Danish.

Danish Aiman turut memimpin skuad Young Tigers sebagai ketua pasukan

TNB ThunderStars merupakan identiti baharu pasukan utama Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menampilkan gabungan pemain berpengalaman dan bakat muda hasil program pembangunan Thunderbolts, memperkukuh status mereka sebagai antara pasukan elit dalam saingan hoki domestik.

Pasukan itu bakal membuka tirai musim dengan berdepan Terengganu Hockey Team (THT) pada 11 April 2026 dalam aksi Piala Sumbangsih Hoki 2026 (Liga Hoki Malaysia – MHL), yang dijangka menjadi pentas awal untuk merealisasikan misi memburu treble musim ini.