JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menyifatkan John Beasley sebagai individu paling berpengaruh di sebalik kebangkitan sukan berbasikal trek Malaysia sehingga mencapai tahap yang suatu ketika dahulu hanya dianggap impian.
Beasley yang menyertai skuad negara sejak 2006 sebagai jurulatih, kini memegang peranan sebagai pengarah teknikal dan dilihat memainkan peranan besar dalam membentuk kejayaan pelumba negara di pentas antarabangsa.
Di bawah bimbingannya, Azizulhasni yang dikenali sebagai ‘The Pocket Rocketman’ berjaya mencipta pelbagai kejayaan termasuk menjuarai acara keirin dunia 2017 di Hong Kong serta meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Rio 2016 dan perak di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Selain itu, kejayaan turut dilakar pelumba lain seperti Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang muncul juara keirin Piala Negara-Negara di Turkiye tahun lalu selain meraih pingat gangsa di Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Dalam kategori wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri turut menyerlah apabila menjuarai Kejohanan Asia 2024 dan 2025 dalam acara keirin serta cemerlang dalam acara 50 meter dan 1 kilometer ujian masa.
Azizulhasni menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan besar Beasley dalam pembangunan sukan berbasikal trek negara.
“Ramai rakyat Malaysia mungkin tidak menyedari sepenuhnya, tetapi John adalah individu di sebalik kejayaan berbasikal trek negara mencapai tahap yang suatu ketika dahulu hanya mampu diimpikan.
“Kerana beliau, kita menyaksikan sejarah tercipta termasuk lahirnya juara dunia dan pemenang pingat Olimpik dari bumi Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook sempena ulang tahun kelahiran Beasley.
Beliau turut menegaskan impak yang dibawa Beasley adalah sesuatu yang besar dan sukar dilupakan oleh seluruh komuniti berbasikal negara.
“Terima kasih atas segala pengorbanan, semangat dan kepercayaan yang diberikan kepada kami semua,” katanya.