IMPIAN pemain import Kuala Lumpur City FC, Giancarlo Gallifuoco untuk memperoleh status naturalisasi dan mewakili skuad kebangsaan Malaysia kini hampir menjadi kenyataan.

Memetik laporan dari BH, Pengerusi KL City FC, Syed Yazid Syed Omar memaklumkan proses mendapatkan kerakyatan Malaysia bagi pemain pertahanan kelahiran Australia itu kini berada di peringkat akhir.

Menurutnya, segala urusan berkaitan hampir selesai, namun masih menunggu kelulusan rasmi daripada pihak berkuasa.

“Dia hampir menjadi rakyat Malaysia. Buat masa ini, itu sahaja yang saya tahu, belum lagi lulus sepenuhnya,” katanya.

Gallifuoco, yang sebelum ini pernah menimba pengalaman bersama akademi Tottenham Hotspur, dilihat sebagai antara calon utama pemain import yang berpotensi untuk dinaturalisasikan.

Pemain berusia 32 tahun itu layak dipertimbangkan berdasarkan syarat FIFA yang menetapkan tempoh minimum lima tahun beraksi di sesebuah negara.

Selain Gallifuoco, dua tonggak Johor Darul Ta’zim iaitu Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo turut berada dalam senarai pemain yang berpotensi menerima status sama.

Sebelum ini, timbul spekulasi bahawa Gallifuoco dan Bergson bakal dipanggil menyertai kem latihan skuad negara bagi menghadapi Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027.

Namun, pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski menjelaskan kedua-dua pemain tidak sempat menyertai kem tersebut berikutan isu dokumentasi yang masih belum diselesaikan.

Sekiranya proses naturalisasi itu dimuktamadkan, Gallifuoco berpotensi menjadi antara aset penting dalam memperkukuh benteng pertahanan skuad kebangsaan.