Kredit Gambar: Olahraga Malaysia

Pelari pecut muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee mencipta sejarah apabila mara ke final acara 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun (U20) Dunia 2026 di Oregon, Amerika Syarikat.

Atlet berusia 19 tahun itu menamatkan perlumbaan di tempat kedua dalam separuh akhir kedua dengan catatan masa 10.36 saat (s), sekali gus mengesahkan tiket automatik ke final.

Danish hanya dibezakan dengan pelari Jamaica, Gary Card yang muncul juara saringan dengan masa 10.16s.

Kejayaan itu turut menyaksikan Danish mengatasi beberapa pencabar lain dari Slovakia, Jepun, Switzerland, Itali, Afrika Selatan dan Guyana untuk berada dalam kelompok terbaik dunia bagi kategori bawah 20 tahun.

Sebelum ini, Danish hadir ke kejohanan tersebut dengan catatan terbaik musim 10.30s, namun sekali lagi membuktikan kemampuannya apabila berjaya melangkah ke final dalam saingan yang menghimpunkan pelari-pelari muda terbaik dunia.

Final acara 100m lelaki dijadual berlangsung pada 11.50 pagi (waktu Malaysia) esok, dengan Danish berpeluang mencipta satu lagi sejarah buat olahraga negara di pentas dunia.