Kredit Gambar: Ozan KOSE/AFP
Mohamed Salah semakin hampir memulakan cabaran baharu dalam kariernya selepas tiba di Turkiye bagi melengkapkan perpindahan ke Trabzonspor secara perpindahan percuma.
Ketibaan bekas penyerang Liverpool itu di Lapangan Terbang Ataturk disambut ratusan penyokong yang tidak melepaskan peluang memberikan sambutan hangat kepada bintang Mesir berusia 34 tahun itu sebelum beliau meneruskan perjalanan ke Trabzon untuk menjalani pemeriksaan perubatan dan memuktamadkan perpindahannya.
Trabzonspor sebelum ini mengesahkan mereka sedang berada pada peringkat akhir rundingan bersama Salah, manakala pengerusi kelab, Ertugrul Dogan memaklumkan majlis menandatangani kontrak dijangka berlangsung sebaik semua urusan selesai.
Malah, Salah turut menyampaikan mesej ringkas kepada penyokong menerusi video yang dimuat naik oleh kelab itu di media sosial.
“Trabzon, adakah anda sudah bersedia? Saya boleh mendengar anda. Jumpa anda tidak lama lagi.”

Trabzonspor football club’s supporters wave a flag and hold a banner as they cheer Egyptian forward Mohamed Salah upon his arrival at Istanbul Ataturk Airport to complete his transfer to Turkish football club Trabzonspor in Istanbul on August 5, 2026. (Photo by Ozan KOSE / AFP)
Perpindahan itu menamatkan sembilan tahun perjalanan cemerlang Salah bersama Liverpool selepas beliau meninggalkan Anfield pada penghujung musim lalu.
Sepanjang bersama The Reds, Salah menjaringkan 257 gol dalam 442 penampilan selain membantu kelab itu meraih pelbagai kejuaraan termasuk dua gelaran Liga Perdana Inggeris dan satu trofi Liga Juara-Juara Eropah.
Musim 2024-25 menjadi antara kempen terbaiknya apabila meledak 29 gol liga serta menghasilkan 18 bantuan jaringan, sekali gus menyamai rekod pembabitan gol terbanyak dalam semusim Liga Perdana Inggeris dan mencipta rekod baharu bagi format 38 perlawanan.
Prestasi cemerlang itu turut menyaksikan beliau dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Liga Perdana Inggeris selain meraih Kasut Emas dan Anugerah Playmaker, menjadikannya pemain pertama memenangi ketiga-tiga anugerah tersebut dalam satu musim.
Namun, prestasi Salah merosot pada musim berikutnya apabila hanya menjaringkan tujuh gol serta mencatat tujuh bantuan jaringan dalam 27 penampilan liga. Beliau juga semakin kerap bermula di bangku simpanan dalam saingan Liga Juara-Juara, selain dilaporkan berdepan hubungan yang tegang dengan pengurus ketika itu, Arne Slot.
Sebelum mencipta nama bersama Liverpool, Salah memulakan karier Eropah di Basel sebelum menyertai Chelsea. Beliau kemudian mengembangkan karier di Itali bersama Fiorentina dan AS Roma sebelum berhijrah ke Anfield pada 2017.
Trabzonspor, yang menamatkan saingan Liga Super Turkiye di tangga ketiga musim lalu, bakal beraksi dalam pusingan playoff Liga Europa. Kelab itu berharap kehadiran Salah mampu memperkukuhkan cabaran mereka di pentas domestik dan Eropah.
Menurut laporan media tempatan, Salah sebelum ini hampir menyertai Besiktas, namun rundingan gagal dimuktamadkan berikutan isu melibatkan tuntutan kewangan serta hak imej.
Setakat ini, Trabzonspor masih belum mendedahkan butiran kontrak yang bakal ditandatangani oleh pemain berpengalaman itu.