PELARI pecut muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee menamatkan cabaran acara 100 meter lelaki di kedudukan ketujuh pada Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Asia yang berlangsung di Hong Kong, semalam.
Atlet berusia 19 tahun itu mencatat masa 10.43 saat pada perlumbaan akhir yang diadakan di Stadium Belia Kai Tak, sekali gus menempatkannya dalam kelompok lapan pelari terbaik benua bagi acara berprestij tersebut.
Pingat emas menjadi milik wakil China, Dai Hongyu yang menamatkan perlumbaan dengan catatan 10.28 saat.
Sementara itu, pelari tuan rumah, Kwok Chung Ting meraih pingat perak selepas mencatat masa 10.35 saat, manakala gangsa menjadi milik wakil Jepun, Yasukawa Tsubasa yang turut merekodkan masa 10.35 saat.
Sebelum melangkah ke pentas akhir, Danish terlebih dahulu mempamerkan larian cemerlang dalam saingan separuh akhir apabila menamatkan perlumbaan dengan masa 10.38 saat untuk mengesahkan tempat ke final.
Walaupun gagal menaiki podium, pencapaian tersebut tetap memberikan petanda positif buat olahraga negara apabila Danish berjaya bersaing dengan pelari terbaik Asia dalam kategori bawah 20 tahun.
Keputusan itu juga dilihat mampu menjadi suntikan motivasi kepada atlet muda negara itu untuk terus meningkatkan prestasi menjelang kejohanan-kejohanan utama akan datang.
Sumber Gambar: FB Olahraga Malaysia