Select Page

Ragbi Piala Agong Edisi ke-38 : Misi Terengganu pertahan kejuaran berganda semakin hampir

Ragbi Piala Agong Edisi ke-38 : Misi Terengganu pertahan kejuaran berganda semakin hampir

MISI untuk mempertahankan kejuaraan sekaligus untuk merangkul kejuaraan berganda kejohanan ragbi Piala Agong edisi ke-38 buat Terengganu kini hanya tinggal selangkah lagi setelah menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam aksi penuh dramatik penentuan separuh akhir berkeputusan 24-22 di Stadium Pangkalan Udara Subang, Shah Alam.

Namun sebelum itu ternyata bukan laluan mudah buat Terengganu yang hampir ‘tercunggap’ menahan asakan padu lawan yang sentiasa mencari ruang dan peluang memburu kemenangan.

Babak awal permainan menyaksikan penguasaan padang milik ATM yang beraksi dalam tempo laju memaksa Terengganu untuk terus bertahan tanpa ruang bagi mencuri bola. ATM yang hadir selaku pasukan pilihan musim ini ternyata membuat persedian yang cukup berbeza berbanding musim-musim lalu dengan mempertaruhkan tiga kudrat import kelahiran Fiji untuk memperkuatkan lagi jentera pasukan.

Pengalaman menjadi ukuran buat kapten pasukan Terengganu yang juga merupakan bekas kapten kebangsaan Mohd Nasharuddin Ismail untuk mengemudi pasukan menyerap tekanan dengan pantas.

Aksi pemain sayap Terengganu Muhammad Haikal Ibrahim yang membuat jatuhan try pertama buat pasukan perlawanan separuh akhir kejohanan Piala Agong edisi ke-38 2022 menentang ATM yang telah berlangsung di Stadium Pangkalan Udara Subang , Shah Alam. Kredit Foto – Mohd Ariff Ramly

Percaturan demi percaturan taktikal berjaya diterjemahkan oleh bekas pemain SUKMA Terengganu Muhammad Haikal Ibrahim untuk menghadiahkan lima mata pertama buat pasukan melalui jatuhan try pada minit ke-7 permainan.

Tambahan dua mata mudah disempurnakan melalui tendangan conversion oleh bekas pemain kebangsaan Muhammad Faris Pead yang beraksi buat musim ke-3 bersama Terengganu meletakkan keputusan semasa 7-0 mula memberi tekanan kepada ATM.

Menambah duka buat ATM terpaksa akur untuk menghadiahkan tiga mata mudah kepada Terengganu melalui tendangan penalti yang disempurnakan oleh Muhammad Faris Pead di minit ke-21 permainan separuh masa pertama ini meletakkan keputusan semasa 10 mata buat Terengganu tanpa sebarang balasan oleh ATM.

Cuaca hujan yang mula membasahi padang mula menambah kudrat buat kedua-dua pasukan yang terpaksa berhempas pulas untuk melepasi kawasan pertahanan masing-masing.

Ternyata kudrat memihak kepada gabungan pasukan tentera dari tiga cabang perkhidmatan untuk mendapat jatuhan try pertama pada minit ke-38 oleh Mohd Arash Arizal Mukhtar dan dua lagi mata melalui tendangan conversion yang disempurnakan oleh pemain import ATM Peni Kadralevu meletakkan keputusan semasa 10-7 yang masih memihak kepada Terengganu.

ATM sekali lagi berjaya membuat kejutan tambahan lima mata melalui rempuhan padu untuk jatuhan try oleh pemain import Turuva Lumelume sekaligus meletakkan pasukan untuk mendahului Terengganu 12-10 sehingga tamat separuh masa pertama permainan.

Babak aksi separuh masa kedua menyaksikan aksi perlawanan kian sengit memaksa Terengganu ketinggalan 10-17 di minit ke-49 permainan setelah ATM menambah tekanan melalui jatuhan try yang sekali lagi berjaya ditebuk oleh Turuva Lumelume namun gagal untuk tambahan dua mata melalui tendangan conversion.

Aksi pemain flanker Terengganu Muhammad Shami Shukor( memegang bola) yang diraikan oleh rakan sepasukan setelah membuat jatuhan try untuk membantu pasukan menafikan ATM berkeputusan 24-22 untuk perlawanan separuh akhir kejohanan Piala Agong edisi ke-38 2022 yang telah berlangsung di Stadium Pangkalan Udara Subang , Shah Alam. Kredit Foto – Mohd Ariff Ramly

Taktikal Terengganu untuk mula bangkit melalui situasi rucking bersilih ganti merapati kubu pertahanan lawan akhirnya membuahkan hasil setelah pemain flanker Terengganu Muhammad Shami Shukor berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-55 permainan melalui jatuhan try berhampiran tiang gol lawan.

Muhammad Faris Pead sekali lagi tidak mengecewakan rakan sepasukan apabila berjaya menambah dua mata melalui tendangan conversion untuk mengikat permainan berkeputusan semasa 17-17.

Menghampiri minit-minit terakhir permainan dengan keputusan terikat 17 sama sekali lagi memberi tekanan buat kedua-dua pasukan memaksa kedua-dua pasukan bersilih ganti membuat pertukaran pemain namun masih gagal untuk memberi kelebihan buat kedua-dua pasukan menambah jurang kutipan mata.

Situasi ini memaksa jurulatih Nik Safuan Ismadi Nik Man pantas mengubah taktikal yang akhirnya berjaya diterjemahkan oleh kudrat import Terengganu, Glen Dale Cook Cakautini melalui jatuhan try di minit ke-73 dan pantas Muhammad Faris Pead untuk sekali lagi menyempurnakan tendangan conversion sekaligus memberi tambahan tujuh mata memberi kelegaan buat pasukan untuk mendahului permainan berkeputusan semasa 24-17.

ARTIKEL BERKAITAN : Separuh akhir ragbi Piala Agong milik Terengganu

Pada minit-minit akhir permainan ini juga menyaksikan dua layangan kad kuning yang terpaksa disimpan kemas oleh pemain gantian ATM Mohd Taufik Azmee dan juga pemain locks Terengganu, Amirul Aiman Ihsan Abas untuk menghangatkan bangku ‘sinbin’ di luar padang.

Pantang untuk ATM menyerah kalah yang kini berjurang tujuh mata berjaya membuat kejutan untuk meruntuhkan jentera pertahan Terengganu sekaligus mengutip lima mata melalui jatuhan try yang disempurnakan oleh pemain import Lipani Likusuasua Peremo Tuinanuavou namun sekali lagi gagal untuk mendapat tambahan dua mata melalui tendangan conversion.

Situasi ini meletakkan keputusan semasa 24-22 sekaligus menoktahkan aksi 80 minit perlawanan separuh akhir yang memihak kepada Terengganu untuk melangkah ke pusingan akhir musim ini.

Pada edisi kejuaraan kali ke-38 ini, Terengganu telah diundi untuk berentap di dalam kumpulan maut bersama Johor, Kedah dan Melaka. Namun Kedah yang membuat kejutan untuk menarik diri di saat akhir memberi kelebihan ‘bye’ pada pesaing.

Manakala bagi aksi suku akhir, Perlis telah memberi laluan buat Terengganu untuk menafikan ATM bagi aksi separuh akhir sekaligus melangkah ke pusingan akhir Piala Agong edisi ke-38 musim ini dengan rekod tanpa kalah musim ini bertemu Wilayah Persekutuan Putrajaya pada Sabtu ini di Stadium Pangkalan Udara Subang, Shah Alam.

Video Terkini

Loading...