DUA atlet kebangsaan membuktikan bahawa kesibukan sebagai atlet bukanlah penghalang buat mereka bergelar seorang graduan selepas berjaya menamatkan pengajian di UiTM.
Itulah yang dibuktikan jaguh kayak kebangsaan Khairul Naim Zainal, dan pemain futsal Selangor Muhammad Haiqal Hasnor, yang berjaya menamatkan pengajian Diploma Pengurusan Sukan pada Istiadat Konvokesyen ke-102 di Dewan Agung Tuanku Canselor, DATC UiTM Shah Alam.
Bagi Khairul Naim yang juga pemegang rekod kebangsaan dalam acara kayak yang dicipta pada Sukan IPT (SUKIPT) 2024 lepas, sungguhpun komitmen terhadap sukan amat tinggi namun beliau tetap memberikan tumpuan terhadap pembelajaran.

Jaguh kayak kebangsaan Khairul Naim Zainal, (kanan) dan pemain futsal Selangor Muhammad Haiqal Hasnor, berjaya menamatkan pengajian Diploma Pengurusan Sukan pada Istiadat Konvokesyen ke-102 di Dewan Agung Tuanku Canselor, DATC UiTM Shah Alam.
“Saya biasanya akan bahagikan masa di antara latihan, biasanya akan dilakukan dari waktu pagi ke petang dan untuk waktu belajar saya sesuaikan pada waktu malam, dan sejujurnya disiplin itu adalah faktor yang penting bagi seseorang atlet itu sendiri dan pentingnya untuk ada rasa hormat kepada mak ayah dan juga pensyarah” kata beliau.
Bagi Haiqal Hasnor pula, keduanya perlulah dititkberatkan seiringan kerana kepentingannya kepada atlet itu sememangnya tidak dinafikan lagi.
“Kalau ikutkan jiwa saya lebih kepada sukan, tetapi cabaran terbesar saya sebagai seorang atlet adalah untuk menyeimbangkan komitmen latihan dan akademik. Sebagai seorang atlet, kita kena faham bahawa kedua-duanya sama penting dan perlu digerakkan seiringan,” ujarnya yang baru sahaja memenangi Piala Futsal Malaysia bersama pasukan Selangor FC.
Khairul pula menambah untuk terus mencipta kejayaan di peringkat seterusnya terutama Ijazah Sarjana Muda yang sedang dilalui dalam bidang yang sama.

Jaguh kayak kebangsaan Khairul Naim Zainal, (kanan) dan pemain futsal Selangor Muhammad Haiqal Hasnor, berjaya menamatkan pengajian Diploma Pengurusan Sukan pada Istiadat Konvokesyen ke-102 di Dewan Agung Tuanku Canselor, DATC UiTM Shah Alam.
“Pendidikan memang penting, tetapi yang lebih utama adalah bagaimana kita menyeimbangkan kedua-duanya, iaitu sukan dan akademik. Saya berharap lebih ramai atlet akan menyambung pengajian. Apabila kita belajar lebih mendalam tentang pengurusan dan sains sukan, kita akan lebih faham tentang cara sukan berfungsi. Ini bukan sahaja memberi kita pengetahuan yang betul, malah menjadikan kita atlet yang lebih bijak di dalam dan di luar arena,” katanya.
Harapan ini turut disokong oleh Haiqal Hasnor.
“Sebagai atlet, cara kita berfikir dan membuat keputusan memang dipengaruhi oleh ilmu yang kita ada. Pendidikan akan mematangkan kita dan membuka lebih banyak peluang di masa hadapan,” tambahnya.
SUMBER: Amni Harith Badrul Hisyam