KETUA Jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak tidak gusar kehilangan lima mata di laman sendiri kerana baginya musim masih awal tetapi kecewa dengan kesilapan individu yang menyebabkan mereka sekali lagi dihukum lawan.
KL City yang bermain dua perlawanan di tempat sendiri hanya mengutip satu mata selepas terikat 2-2 dengan Penang FC pada perlawanan pertama sebelum tewas kepada Johor Darul Ta’zim 0-3 pada Rabu.
Bojan juga mengatakan yang dia terkejut dengan corak permainan yang ditunjukkan JDT kerana mereka lebih tersusun dan bertahan dengan baik dibawah kendalian pengendali baharu.
We move on 🔴⚪️#KLCityFC #ColouringTheCity #SampaiMatiKualaLumpur pic.twitter.com/vOsDfKEAcX
— Kuala Lumpur City Football Club (@KLCityFootball) March 1, 2023
“Separuh masa pertama kami berjaya menyekat mereka tetapi kami menghadiahkan mereka sepakan percuma yang lucu dan tidak ada apa yang mampu dilakukan Romel untuk mengelak daripada menjaringkan gol ke gawang sendiri.
“Separuh masa kedua kesilapan individu menjadi punca gol kedua dan selepas itu kami mengubah sistem permainan dan mengambil risiko untuk menyerang kerana ianya amat berbahaya untuk melakukannya ketika berdepan JDT.
“Kehilangan lima mata di tempat sendiri masih tidak membimbangkan kerana kami boleh dapat mata di tempat lain. Ini sama seperti tahun-tahun sebelum ini dimana kami bangkit pada pusingan kedua tetapi apa yang penting kini adalah kami perlu kurangkan kesilapan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Bojan turut mendedahkan mereka sudah menggunakan dua hingga tiga pelan permainan namun semuanya tidak menjadi kerana JDT lebih berbahaya dengan serangan balas dan transisi mereka juga lebih baik selain mereka juga bertahan dengan baik.
Kuala Lumpur City FC kini di tangga kesembilan liga dengan satu mata dan bakal bertemu Terengganu FC di Kuala Terengganu pada Ahad untuk mencari kemenangan pertama musim ini.