KETUA Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon mencadangkan satu sesi meja bulat melibatkan semua pemegang taruh bola sepak negara bagi mencari penyelesaian menyeluruh terhadap isu kewangan yang terus membelenggu saingan Liga Malaysia (Liga M).
Menurutnya, masalah kewangan bukan perkara baharu dalam Liga M, dengan isu tunggakan gaji pemain, staf kejurulatihan dan pegawai sering berulang setiap musim.
Situasi itu turut menyebabkan beberapa kelab dikenakan sekatan perpindahan oleh FIFA susulan kegagalan menyelesaikan komitmen kewangan masing-masing.
Johan menjelaskan bahawa penyelesaian kepada masalah tersebut memerlukan perubahan besar serta komitmen bersama daripada semua pihak, bukan hanya bergantung kepada satu kelab sahaja.
“Kami terbuka tetapi jawapannya tidak mudah. Penyelesaian untuk isu yang setiap tahun meningkat memerlukan banyak perubahan besar, bukan sahaja dari Selangor tetapi semua pasukan.
“Setiap orang harus beri komitmen dan berkorban untuk melaksanakan perubahan. Kita perlu berbincang kerana ada jawapannya, semua pihak mahu perubahan itu berlaku,” katanya kepada pemberita.
Beliau turut menegaskan bahawa semua pihak perlu menilai semula hala tuju industri bola sepak tempatan sama ada berorientasikan jangka pendek atau jangka panjang.
Katanya, persoalan tersebut penting bagi memastikan sebarang langkah yang diambil mampu memberi kesan positif dan mampan kepada pembangunan Liga M.
Saranan itu dibuat ketika beberapa pasukan Liga Super masih berdepan kesukaran menyelesaikan isu tunggakan gaji, sekali gus menjejaskan kestabilan keseluruhan ekosistem bola sepak negara.
Justeru, pendekatan kolektif dilihat sebagai langkah terbaik untuk memastikan isu berkenaan dapat ditangani secara lebih berkesan dan berpanjangan.
