MALAYSIA terus mengukir nama di pentas bola sepak dunia apabila tokoh komunikasi sukan tanah air, Dato’ Christopher Raj dilantik sebagai ahli Lembaga Penasihat World Football Summit (WFS), platform global berprestij yang menyatukan pemimpin paling berpengaruh dalam industri bola sepak.

Pelantikan yang berkuat kuasa 11 Ogos lalu itu meletakkan Christopher sebaris dengan ikon antarabangsa yang membentuk hala tuju strategik sidang kemuncak bola sepak terkemuka dunia tersebut. Beliau menjadi hanya individu kedua dari Malaysia menyertai barisan elit itu selepas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John.

Figura berpengalaman lebih dua dekad dalam komunikasi dan tadbir urus sukan itu bukanlah nama asing. Christopher merupakan Pengasas serta Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, agensi komunikasi sukan terkemuka Asia Tenggara yang merangkul pelbagai anugerah. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Rekod antarabangsa beliau juga cukup mengagumkan, dengan pembabitan bersama FIFA dan AFC di pentas kejohanan terbesar dunia – termasuk Piala Dunia FIFA di Qatar 2022 dan Russia 2018, dua edisi Piala Dunia B-17 FIFA di Indonesia 2023 dan India 2017, selain beberapa edisi Piala Asia, Liga Juara-Juara AFC dan final Piala AFC.

Penyertaan beliau dalam WFS bukan sahaja mengangkat martabat dirinya, tetapi turut menzahirkan kehadiran Malaysia dalam rangkaian pemimpin global. Antara nama besar lain dalam lembaga itu termasuk Nicolas Pompigne-Mognard, Luis Vicente, Michael Broughton serta legenda England, Sol Campbell.

“Pengalaman luas Christopher dalam media dan komunikasi bola sepak membawa perspektif global yang sebenar, malah rangkaian hubungan beliau akan memperkukuhkan lagi misi kami untuk membentuk masa depan bola sepak,” kata Jan Alessie, Pengarah Urusan dan pengasas bersama WFS.

Bagi Christopher sendiri, pelantikan itu adalah satu penghormatan besar. “Sejak menyertai WFS pada edisi 2020 di Arab Saudi, saya melihat kekuatan sidang ini dalam menghimpunkan pemimpin bola sepak dunia. Kini diberi peluang berkhidmat dalam lembaga penasihat bersama tokoh berkaliber tinggi adalah sesuatu yang amat saya hargai. Saya mahu menyumbangkan pengalaman saya daripada Malaysia dan Asia, serta menyokong visi WFS untuk memajukan bola sepak di seluruh dunia,” katanya.

Pelantikan ini sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia bukan sekadar pemerhati, tetapi turut menjadi sebahagian daripada suara penting yang membantu membentuk landskap bola sepak dunia.