MOHD Harrif Saleh dan Jupha Somnet menepati ramalan pada kejohanan berbasikal Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Malaysia 2022.
Pelumba berpengalaman itu masing-masing menjuarai acara kriterium lelaki dan wanita terbuka dalam perlumbaan di Bandar Al Wathiqu Billah pada Isnin.
Mohd. Harrif yang mewakili Majlis Sukan Angkatan Tentera mencatat masa 50 minit 33 saat untuk tiba lebih awal pada perlumbaan lapan pusingan sejauh 34.4 kilometer (km) itu.
Mohd. Harrif yang juga pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) mengatasi pelumba Maksak Perlis, Norazli Mat Zain di tempat kedua dan wakil Terengganu, Ahmad Syafiq Jusoh, ketiga.

Kategori wanita melibatkan perlumbaan empat pusingan sejauh 17.2km pula menyaksikan Jupha yang turun selaku pelumba Polis Diraja Malaysia (PDRM) unggul dengan catatan masa 0:28:29s
Pelumba negara itu menewaskan pelumba Sarawak, Nur Faizatul Ahmad Joyo ditempat kedua manakala tempat ketiga milik Noor Hidayah Tajudin pelumba dari Majlis Sukan Penjara.
Acara perlumbaan lebuhraya itu bermula sejak 20 Oktober dan dimenangi Majlis Sukan PDRM yang muncul juara keseluruhan sekaligus memenangi RM1,200, piala pusingan dan medal.